KDN: Larangan komik bukan sentimen, arahan mana-mana pihak

KDN: Larangan komik bukan sentimen, arahan mana-mana pihak

Muhyiddin Yassin berkata pengharaman itu dilaksanakan berasaskan kandungan dalam komik tersebut.

Komik ‘Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama’ diedarkan di SMJK SJK di negara ini.
KUALA LUMPUR:
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin hari ini berkata larangan ke atas komik kontroversi “Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama” bukan disebabkan oleh sentimen atau arahan mana-mana pihak.

Beliau berkata pengharaman itu dilaksanakan berasaskan kandungan dalam komik tersebut.

“Kami melakukan siasatan mendalam mengenai kandungan buku komik yang telah diedarkan di seluruh negara, bahkan di sekolah,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau berkata langkah seterusnya selepas pengharaman adalah merampasnya jika komik tersebut masih lagi beredar di pasaran.

“Ini adalah isu yang serius, dan saya perlu mengambil tindakan secepat mungkin.

“Saya minta semua orang tidak membaca dan mengelakkan membaca buku itu, kerana kami telah mengharamkannya,” kata Muhyiddin.

Sebelum ini, KDN dalam satu kenyataan mengharamkan komik itu dengan alasan ia mempromosikan komunisme dan sosialisme dan ia mengandungi kesilapan fakta.

Semalam, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik tersebut atas alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

Warta perintah larangan ini adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Media melaporkan sejumlah 2,500 naskhah komik dalam bahasa Malaysia diedarkan ke perpustakaan sekolah sebagai bahan bacaan peringkat sekolah.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata beliau mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan pengedaran komik itu.

Baru-baru ini, media melaporkan komik itu dipercayai diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.