
Beliau berkata, kartun bergantung kepada tafsiran dan pihak yang bersetuju dengan kandungan komik berkenaan tidak boleh menggunakan tafsiran mereka sebagai undang-undang untuk mengharamkannya.
“Prinsipnya mudah, kartun dan komik adalah perkara tafsiran, jika anda tidak bersetuju dengan kandungannya, tidak ada masalah, tetapi jangan gunakan tafsiran anda sebagai undang-undang untuk mengharamkannya.
“Tidak suka? Jangan baca,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama atas alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.
Selain itu, komik yang diterbitkan dalam tiga bahasa itu Melayu, Inggeris dan Cina itu, dikatakan mengelirukan pembaca serta mengandungi unsur bertujuan membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis
Warta perintah larangan ini dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan komik tersebut dilarang secara mutlak.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik turut mengarahkan kementerian berkenaan menyiasat jika terdapat mana-mana individu, termasuk anggota pentadbiran yang bertanggungjawab membenarkan komik tersebut diedarkan ke sekolah menengah di seluruh negara baru-baru ini.
Maszlee berkata, kementerian juga akan memastikan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan perkara itu.
Zunar bagaimanapun berkata, beliau tidak setuju jika komik tersebut diedarkan ke sekolah walaupun mengakui belum membaca secara keseluruhan isi kandungan komik tersebut.
“Apa yang saya dengar hanyalah komen daripada menteri, institusi kerajaan dan parti politik tanpa rujukan spesifik tentang halaman mana dan apakah yang tidak mereka persetujui.
“Saya ingin jelaskan bahawa secara peribadi saya mungkin bersetuju atau mungkin tidak bersetuju dengan kandungannya, tetapi saya amat menentang pengharaman komik tersebut,” katanya.
Zunar berkata, jika mana-mana pihak berasa kandungan komik itu adalah fitnah atau menghasut, maka mereka boleh memfailkan saman sivil di mahkamah terbuka, sekali gus membolehkan artis mempertahankan dirinya.
Katanya, pengharaman penuh komik berkenaan tidak dapat diterima.
“Saya ingin merujuk penghakiman oleh Mahkamah Rayuan yang mengarahkan kerajaan tidak mengharamkan buku kartun saya pada Oktober 2014.
“Dalam keputusannya, Hakim Mohd Ariff Mohd Yusof berkata, jika mana-mana orang atau institusi terkesan oleh mana-mana kartun, yang mungkin disifatkan menghina atau memfitnah, maka mereka sepatutnya mengambil langkah menyaman perayu.
“Ini adalah alternatif lebih baik daripada pengharaman penuh atas alasan tidak munasabah seperti menggugat ketenteraman awam,” kata beliau.
Komik “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama” diterbitkan hasil kerjasama kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia yang juga bekas pemimpin DAP, Hew Kuan Yau dengan artis tempatan Chong Po Ling.
Ia diberi kata pengantar oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan dihadiahkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden China Xi Jinping bersempena Forum Jalur dan Jalan untuk Kerjasama Antarabangsa ke-2 di Beijing, April lepas.