PH: Ada pihak cuba jejaskan keharmonian negara

PH: Ada pihak cuba jejaskan keharmonian negara

Majlis Setiausaha PH berkata isu perkauman dan politik kebencian semakin menjadi-jadi menjelang PRK Tanjung Piai pada 16 November ini.

PH sentiasa komited menjaga perpaduan rakyat tanpa mengira etnik, agama, wilayah dan usia untuk melihat Malaysia yang lebih baik dan maju.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) hari ini mengingatkan rakyat mengenai cubaan sesetengan pihak untuk menjejaskan keharmonian negara ketika kerajaan sedang menyediakan Belanjawan 2020.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan bersama berkata, isu politik perkauman dan kebencian itu lebih rancak dan menjadi-jadi terutamanya menjelang pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai yang dijadualkan pada 16 November ini.

Oleh itu, PH mengakui gabungan itu berdepan kesukaran dalam mendepani PRK kerana melibatkan unsur politik kaum dan kebencian.

“Namun kami percaya rakyat mempunyai pilihan antara sebuah Malaysia yang lebih baik atau politik berasaskan kebencian,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah, Setiusaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Setiusaha PPBM Marzuki Yahya, Setiusaha Agung Amanah Annuar Tahir dan Setiusaha Agung DAP Loke Siew Fook.

Mengulas lanjut, mereka menegaskan PH sentiasa komited menjaga perpaduan rakyat tanpa mengira etnik, agama, wilayah dan usia untuk melihat Malaysia yang lebih baik dan maju.

“Sebarang usaha menganggu perpaduan nasional akan melambatkan agenda pembangunan ekonomi Malaysia dan akan mengembalikan kerajaan kleptokrasi mentadbir anak cucu kita pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan belanjawan negara bertemakan “Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif Yang Berkualiti Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi”.

Ia merupakan pembentangan bajet kali kedua sejak PH menerajui Putrajaya selepas kemenangan pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.