
Prabowo, 68, ketua umum Parti Gerindra dan bekas ketua tentera Indonesia itu, dua kali tewas kepada Joko dalam pilihan raya presiden Indonesia (Pilpres) iaitu pada 2019 dan 2014.
Pelantikan menteri Kabinet hak prerogatif presiden.
Menurut penganalisis politik, perseteruan politik mereka bukan kepalang, namun kedua-dua tokoh itu meletak kepentingan negara, melebihi kepentingan peribadi.
“Analogi politik Indonesia ini seperti bola sepak, mereka berlawan bermatian-matian dalam liga tempatan (pilihan raya), apabila telah selesai, mereka kembali bersatu untuk membentuk pasukan kebangsaan, demi negara,” kata penganalisis itu.
Pada Pilpres yang berlangsung pada 17 April 2019, Joko, 58, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.
Keputusan yang diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada 21 Mei lepas itu mencetuskan beberapa siri tunjuk perasaan dan rusuhan, dengan sembilan orang dilaporkan terbunuh dan beratus lagi cedera.
Prabowo memfailkan petisyen membantah keputusan pilihan raya itu ke Mahkamah Konstitusi Indonesia, yang kemudiannya bersidang hampir sebulan, dan memutuskan menolak permohonan itu pada 27 Jun lepas.
Sebanyak 34 menteri mengangkat sumpah pada majlis pelantikan di hadapan Joko di Istana Merdeka, serta empat lagi jawatan penting iaitu ketua staf pepresidenan, Moeldoko; sekretaris kabinet (ketua setiausaha negara), Pramono Anung; ketua badan koordinasi dan penanaman modal, Bahlil Lahadalia; dan jaksa agung (peguam negara) Burhanudin.
Senarai Kabinet Joko menampilkan 17 muka lama dan 21 muka baru.
Antara yang kekal Menteri Luar, Retno Marsudi; Menteri Kewangan, Sri Mulyani; Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi, Luhut B Pandjaitan; Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna Laoly; dan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan, Siti Nurbaya.
Jokowi turut melantik Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian sebagai menteri dalam negeri; pengasas syarikat rangkaian pengangkutan Gojek, Nadiem Makarim sebagai menteri pendidikan dan kebudayaan, serta bekas ketua mahkamah konstitusi, Mahfud MD sebagai menteri koordinator bidang politik hukum dan keamanan.
Joko mengangkat sumpah bagi penggal keduanya pada Ahad, bagi memimpin negara ketiga demokrasi terbesar di dunia itu, dengan visi menjadikan Indonesia negara maju menjelang 2045.