Asia tidak boleh terjerat dalam pertembungan kuasa besar, kata Chin Tong di Beijing

Asia tidak boleh terjerat dalam pertembungan kuasa besar, kata Chin Tong di Beijing

Liew memberitahu peserta Forum Xiang Shan, Asia juga perlu memberi lebih ruang kerjasama dan mengiktiraf peranan yang dapat dimainkan oleh seluruh kuasa rantau ini, tanpa mengira saiz.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong bercakap dalam Forum Xiang Shan kesembilan di Beijing.
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Liew Chin Tong yang menghadiri Forum Xiang Shan kesembilan di Beijing berkata, negara-negara-negara Asia tidak boleh terjerat dalam pertembungan kuasa besar binari.

Sebaliknya menurut beliau, negara-negara Asia perlu bergerak maju bersama-sama dengan satu identiti sepunya rantau ini, tidak kira besar atau kecil.

Liew memberitahu peserta Forum Xiang Shan yang berakhir semalam, negara-negara Asia juga perlu memberi lebih ruang kerjasama dan mengiktiraf peranan yang dapat dimainkan oleh seluruh kuasa rantau ini, tanpa mengira saiz.

Sempena lawatannya, Liew telah berucap dalam sidang pleno di bawah tajuk “Pengurusan Risiko Keselamatan Di Asia-Pasifik”, kata kenyataan dikeluarkan Kementerian Pertahanan, hari ini.

Delegasi Malaysia diketuai beliau turut disertai Pengarah Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP). Lt Jen Sheikh Mokshin Sheikh Hassan; Duta Besar Malaysia ke China, Nushirwan bin Zainal Abidin serta Penasihat Pertahanan, Laksamana Pertama Ahmad Asri Yaacob.

Forum Xiang Shan platform peringkat tinggi yang dianjurkan oleh Persatuan Sains Ketenteraan China dan dihadiri menteri-menteri pertahanan serta pegawai-pegawai kanan ketenteraan dari seluruh dunia.

Forum tahun lalu dihadiri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menyentuh mengenai usaha antikeganasan global.

Kenyataan itu berkata, Liew juga telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Menteri Pertahanan Republik Korea, Park Jae-Min dan Timbalan Ketua Jabatan Staf Bersama Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China, Lt Jen Shao Yuanming di sisi forum terbabit.

“Perjumpaan dua hala tersebut memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dengan Republik Korea dan juga China, serta membangkitkan beberapa cadangan positif untuk melanjutkan kerjasama pertahanan.

“Malaysia berharap untuk terus meningkatkan hubungan bersama dua negara ini,” kata kenyataan itu lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.