
Hakim Wong Chee Lin memerintahkan Rosmah membayar kos RM3,000 kepada firma Lubnan itu.
Terdahulu, peguam Mohamed Reza Rahim, yang mewakili Rosmah berhujah, mereka sedang menunggu rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah itu membenarkan Rosmah melantik seorang pakar barang kemas bebas bagi mengenalpasti dan mengesahkan bilangan barang kemas tersebut yang ketika ini dalam jagaan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Bagaimanapun, kami sedia, dan sanggup menyertai perbicaraan,” kata beliau.
Peguam David Gurupatham, bertindak bagi pihak firma barang kemas, Global Royalty Trading SAL berkata perbicaraan sepatutnya berjalan hari ini kerana pemilik firma Lubnan itu Samir Halimeh bersedia untuk memberi keterangan.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Gurupatham berkata perbicaraan itu ditangguhkan kerana terdapat rayuan belum diputuskan tentang isu juri (pakar barang kemas bebas).
“Jika anak guam saya beri keterangan dan pulang, maka ini akan memprejudis beliau. Walaupun (permohonan) penangguhan ditolak, terdapat rayuan belum diputuskan bagi mengenal pasti dan mengesahkan 44 butir barang kemas atau cuma hanya sebutir atau mana-mana daripadanya di mahkamah perlucutan hak.
“Jadi, kami putuskan untuk menarik balik kes, bergantung pada keputusan mahkamah perlucutan hak. Jika mahkamah itu menyatakan ada juri (pakar barang kemas bebas), maka kami akan ambil tindakan terhadap kerajaan atau Rosmah,” kata beliau.
Ditanya sama ada beliau boleh memfail saman baru, peguam itu berkata tidak ada apa yang boleh menyekat mereka daripada berbuat demikian.
Dalam saman itu, Global Royalty mendakwa pada 10 Feb, 2018, ia menghantar 44 butir barang kemas termasuk kalung berlian, subang, cincin, rantai tangan dan tiara, setiap satu bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3.8 juta) kepada defendan, diserah dengan tangan menerusi dua agennya.
Syarikat itu berkata Rosmah mengaku menerima barang-barang kemas tersebut dan bersetuju dengan terma dan syarat yang terkandung dalam Memorandum No 926 berkaitan barang kemas itu.
Syarikat itu mendakwa Rosmah, menerusi surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui ada menerima barang kemas itu tetapi menyatakan semua barang kemas itu tidak lagi dalam miliknya kerana dirampas dan diletakkan dalam simpanan pihak berkuasa.
Global Royalty memohon mahkamah mengisytiharkannya sebagai pemilik sah semua barang kemas berkenaan dan milikannya tidak pernah berpindah tangan kepada defendan.
Ia juga memohon perintah mandatori agar Rosmah membekalkan senarai barang kemas yang dirampas, untuk dikembalikan, atau Rosmah membayar harga barang kemas itu bernilai AS$14.79 juta (RM59.83 juta).