Perlu ada peraturan lindungi pekerja ‘gig economy’, kata PM

Perlu ada peraturan lindungi pekerja ‘gig economy’, kata PM

Dr Mahathir Mohamad berkata, ia adalah cabaran bagi kerajaan untuk melindungi kebajikan pekerja dalam 'gig economy'.

Pekerja dalam ‘gig economy’ ialah mereka yang bekerja secara kontrak jangka pendek atau bebas seperti Foodpanda dan pemandu perkhidmatan e-hailing.
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad berkata, peraturan perlu diwujudkan untuk melindungi hak pekerja “gig economy” yang bekerja secara kontrak jangka pendek atau bebas seperti Foodpanda dan perkhidmatan e-hailing.

Perdana menteri berkata, kerajaan prihatin terhadap nasib pekerja dalam “gig economy” kerana mereka tidak mendapat pencen atau caruman di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, kerajaan sedang mengkaji cara untuk melindungi hak dan kebajikan mereka.

“Ini cara (sistem) baru dan kita dapati ramai yang mendapat manfaat daripada ‘gig economy’, sebab itu kita perlu kekal sistem ini.

“Tetapi, kita mahu ada peraturan yang melindungi hak pekerja. kita perlu kaji kepentingan mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) jika jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mencari penyelesaian jangka panjang bagi melindungi kepentingan pekerja dalam “gig economy” dan pelanggannya, akan mengkaji isu membabitkan caruman KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Terdahulu, Mahathir berkata, jawatankuasa itu yang dianggotai Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, akan turut menangani isu lain berkaitan “gig economy”.

Katanya, “gig economy” ialah trend baru yang memberi cabaran kepada kerajaan dalam melindungi kebajikan pekerja sektor itu disebabkan hubungan “samar-samar” antara “majikan dan pekerja”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.