
Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini berkata, semua rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas dan entiti korporat akan diberikan TIN mulai Jan 2021.
Sesi penglibatan dengan pihak-pihak berkepentingan juga akan dibuat pada tahun depan sebelum ia diperkenalkan.
Menurut Hilda Liow yang merupakan rakan perkongsian Global Mobility Services, PwC Malaysia, langkah itu akan membolehkan kerajaan untuk membuat pendaftaran cukai secara automatik membabitkan individu dan perusahaan bagi memudahkan pelaporan masa nyata dan mekanisme perkongsian yang akan mengurangkan kos pentadbiran serta masa.
“TIN juga akan mengurangkan sebarang aktiviti timbang tara cukai dan memastikan tiada kehilangan dalam hasil atau mengurangkan pendapatan.
“Saya yakin ketiga-tiga manfaat ini menjadi penyebab utama TIN diperkenalkan walaupun butirannya masih samar-samar,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, Liow berpendapat bahawa kerajaan perlu menyediakan satu sistem di mana infrastruktur untuk sesuatu pengenalpastian dapat diperkenalkan.
“Pada Ogos tahun ini, kerajaan telah mengumumkan usaha bagi mewujudkan inisiatif Identiti Digital Kebangsaan (ID).
“Saya fikir, ini merupakan satu permulaan jika kita semua bergerak ke arah inisiatif pendaftaran automatik individu khususnya mereka yang berada di atas usia 18 tahun dengan TIN,” katanya lagi.
Kerajaan mengumumkan satu kajian selama sembilan bulan mengenai platform ID kebangsaan akan dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengenal pasti model yang paling sesuai untuk dilaksanakan.
“Jadi perlahan-lahan, kita akan mempunyai platform, sekurang-kurangnya, yang mempunyai perkongsian maklumat merentasi agensi yang amat kita perlukan.
“Sekarang, kita tidak melihat sebarang perkongsian maklumat yang mampu merentasi agensi di Malaysia,” kata Liow.
Sebagai contoh, negara-negara lain telah pn melaksanakan identiti sejagat, yang diperkenalkan di peringkat nasional.
“Kelebihan pada ID universal ini ialah ia akan membantu individu atau sektor korporat untuk menggunakan hanya satu ID bagi mendapatkan akses ke dalam sistem.
“Mungkin ia meupakan perkhidmatan e-kerajaan atau transaksi awam atau swasta,” katanya, sambil menambah bahawa Singapura telah melaksanakan identiti digital kebangsaan bagi mengakses laman e-kerajaan,” kata Liow.
Sebagai contoh, di India dan Thailand, maklumat pemegang polisi syarikat insurans dikongsi bersama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Sementara itu, Ernst & Young ASEAN dalam notanya yang bertajuk “EY Take 5 for insights into Budget 2020” menyatakan pelaksanaan TIN akan meningkatkan bilangan pembayar cukai yang berdaftar.
Kejayaan sistem ini akan bergantung bagaimana kerajaan mengintegrasikannya dengan pangkalan data sektor awam dan swasta seperti rekod perbankan, ini akan menentukan sama ada inisiatif tersebut mencapai objektif atau tidak, katanya.