‘Musim hujan’ alasan peniaga tetap harga tinggi menjelang Deepavali

‘Musim hujan’ alasan peniaga tetap harga tinggi menjelang Deepavali

Segelintir peniaga ayam dan sayur-sayuran dikesan menjual barang basah melebihi harga maksimum musim perayaan.

Seorang peniaga menyusun telur ayam yang dijual di premisnya di Simpang Kuala hari ini. Telur ayam antara barangan yang ditetapkan harga sempena musim perayaan. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Segelintir peniaga ayam dan sayur-sayuran dikesan menjual barang-barang basah pada harga melebihi yang ditetapkan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan untuk musim perayaan Deepavali.

Tinjauan di pasar sehari Simpang Kuala mendapati ada peniaga menjual ayam pada harga RM8 hingga RM8.50 sekilogram bagi harga runcit berbanding RM7.30 yang telah ditetapkan.

Peniaga ayam, Ibrahim Murad, 62, berkata, beliau sedar mengenai penetapan harga kawalan itu, namun tiada pilihan lain dan terpaksa menjual ayam pada harga RM8 sekilogram bagi menampung kos operasi terutama ketika musim hujan.

“Sebelum ini, saya jual RM8.50 sekilogram, selepas penetapan harga kawalan, saya turunkan juga kepada RM8 agar tidak membebankan pengguna bagi menyambut perayaan Deepavali minggu depan, musim hujan menyebabkan jualan turut merosot dan mampu menjual 30 ekor ayam sahaja berbanding 60 ekor sebelum ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, dia bertindak demikian bagi membolehkan mendapat sedikit keuntungan selepas membeli ayam dari pembekal sekitar RM6 sekilogram.

Bagi peniaga sayur, Musa Md Noh, 54, pula musim hujan yang berlarutan sejak seminggu lalu menyebabkan harga sayur yang dibeli dari pembekal menjadi lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Jika sebelum ini kacang bendi dibeli pada harga RM3 sekilogram, namun ia naik kepada RM4.50 sekilogram, pembekal kata pokok tenggelam menyebabkan barang tak banyak, jadi saya jual RM6 sekilogram begitu juga tomato bagi mendapat sedikit untung,” katanya.

Bagaimanapun seorang peruncit yang hanya mahu dikenali sebagai Tai Sing, 58, berkata beliau akur dengan penetapan harga kawalan agar tidak membebankan pengguna.

“Sebelum ini telur bagi gred A dijual 40 sen, gred B 39 sen dan gred C 38 sen, namun selepas kerajaan umum harga kawalan saya turunkan satu sen, saya ikut sahaja sebab bukan lama kerajaan tetapkan harga itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah Mohammad Fitri Hassan berkata pihaknya akan melakukan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak engkar.

“Saya minta peniaga akurlah kerana ia dilaksanakan untuk melindungi pengguna, ia dilaksanakan selepas semua pihak kepentingan dipanggil dan berbincang dengan harga yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 bermula Sabtu lepas untuk tempoh 14 hari, dengan 19 barang disenarai di bawah harga kawalan.

Di George Town, Exco Perdagangan Antarabangsa Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri Abdul Halim Hussain berkata banyak bahan yang tersenarai dalam 19 barang bawah Skim Harga Maksimum Perayaan didapati dijual pada harga bawah harga kawalan maksimum yang ditetapkan.

“Bekalan tahun ini setakat ini mencukupi, pengguna jangan bimbang. Banyak barang bukan sahaja bawah harga kawalan maksimum malah lebih murah,” katanya kepada pemberita ketika meninjau harga barangan kawalan SHMMP di Air Itam.

Beliau mengingatkan pengguna agar peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika peniaga tidak mempamerkan tanda harga khususnya pada 19 barang kawalan itu yang mesti diletakkan dengan tanda harga berwarna merah jambu.

“Peniaga yang gagal berbuat demikian boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun maksimum RM5,000 bagi individu manakala denda maksimum RM20,000 atau kompaun RM10,000 bagi syarikat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.