
Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2020, Hishammuddin berkata pertahanan bukan hanya mengenai jumlah peruntukan dan kertas putih, tetapi juga ke mana dana rakyat itu dibelanjakan.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 mengumumkan RM15.6 bilion untuk pertahanan.
Hishammuddin bagaimanapun berkata RM15.6 bilion tidak boleh dijadikan sandaran utnuk mengukur tahap keseriusan kerajaan, kerana angka yang hampir sama diperuntukkan tahun lalu.
“Tiada satu pun inisiatif besar dan perancangan strategik yang Kementah laksanakan,” katanya, dan pertanyaan mengenai perancangan Kementah hanya dijawab dengan “tunggu Kertas Putih Pertahanan (KPP)”.
“Sekalipun KPP dibentangkan, ia cumalah dokumen perancangan 10 tahun Kementah,” katanya kepada Timbalan Speaker Nga Kor Ming.
“Perkara yang lebih penting ialah, apa inisiatif dan perancangan Kementah untuk 2020.”
Hishammuddin berkata Dewan Rakyat langsung tidak mendengar sebarang insiatif baru untuk mengukuhkan keselamatan Sarawak, sedangkan sudah beberapa kali sempadan negara diceroboh sepanjang Pakatan Harapan memerintah.
Beliau memberi contoh kejadian lima rakyat Malaysia diculik anggota tentera Indonesia ketika mengutip kayu kira-kira 400 meter dari sempadan Serian-Kalimantan pada 11 Dis 2018.
“Ketika zaman BN, beberapa inisiatif telah kita laksanakan, termasuklah menubuhkan 31 Briged Sempadan, membaikpulih dan membina pos-pos kawalan baru di sempadan dan merancang penubuhan Pangkalan Tentera Udara Bintulu.
“Saya menggesa kerajaan Pakatan Harapan bukan sahaja meneruskan inisiatif-inisiatif ini, tetapi juga menambah lebih banyak inisiatif,” katanya.
Hishammuddin tidak berpuas hati Belanjawan 2020 hanya mengumumkan satu rancangan kebajikan, iaitu RM150 juta untuk baik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Beliau menggesa kerajaan meneruskan inisiatif kesejahteraan pentadbiran lalu, seperti Blueprint Perumahan bagi membina 40,627 rumah untuk lebih 200,000 ahli keluarga tentera, program Satu Anggota Satu Rumah, dan 1Malaysia Veteran Home Repair Programme.
“Antara inisiatif pendidikan terbesar yang kita laksanakan ialah menambahbaik perkhidmatan feri sekolah…telah memanfaatkan lebih 15,000 anak warga tentera. Sekarang, apa jadi dengan inisiatif ini pun kita tidak tahu.
“Itu belum lagi cerita tentang inisiatif tuisyen berpusat dan tuisyen dalam talian. Silap-silap, sudah tidak lagi dilaksanakan.”
Gajah bertempur
RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun mencelah dan bertanyakan Hishammuddin adakah dia bersetuju Mohamad perlukan masa, mengatakan kebanyakan masalah hari ini “warisan” dari pentadbiran dulu.
Hishammuddin berkata walaupun Mohamad perlukan masa, tetapi pegawai-pegawainya dan Kementah sudah berpuluh tahun berkhidmat.
“Mereka memerlukan kepimpinan, mereka memerlukan hala tuju, mereka mesti melihat hala tuju yang jelas supaya (menteri) tidak ada pengalaman pun tidak apa, tetapi sekurang-kurangnya Kementah berjalan.
“Bukan setakat gajah dengan gajah bertembung sahaja. Yang penting sekarang, keselamatan negara tidak boleh diberi alasan kita tiada pengalaman,” katanya, sambil mengejek ucapan Mohamad pada IISS Asia Security Summit Shangri-La Dialogue (SLD) ke-18 pada Jun.