PM: Malaysia sokong projek Satu Jalur Satu Jalan China, tapi bukan ideologinya

PM: Malaysia sokong projek Satu Jalur Satu Jalan China, tapi bukan ideologinya

Dr Mahathir Mohamad berkata, 'negara kaya ialah pasaran baik', susulan kontroversi sebuah buku komik mengenai inisiatif itu.

Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis yang bertemakan ‘Malaysia Beyond 2020’ di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia menyokong inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) China, tetapi bukannya ideologi Beijing.

Perdana menteri berkata, Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan China selagi ada peluang perdagangan dengannya kerana “negara kaya ialah pasaran baik”.

“Walaupun kita tidak suka pengaruh Barat dalam strategi dan sekolah kita, kita tidak mahu negara lain mmepunyai pengaruh tidak warjar ke atas anak muda kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis bertemakan “Malaysia Beyond 2020” hari ini.

Kenyataan itu menyusul kontroversi berhubung pengedaran sebuah komik mengenai OBOR di sekolah di Pulau Pinang.

Komik berjudul “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” diterbitkan sebuah syarikat yang diketuai bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Hew melabelkan kontroversi itu sebagai cara Putrajaya meraih sokongan pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov nanti.

Kementerian Pendidikan menafikan ia memberi kebenaran untuk pengedaran komik itu di sekolah menengah dan vernakular.

Ia turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah memastikan sekolah tidak menerima atau mengedarkan komik itu daripada mana-mana pihak.

Hari ini, Mahathir berkata, anak muda perlu memahami dasar dan strategi negara sebelum mempelajari dasar negara lain.

“Saya percaya China akan mempunyai pengaruh besar kepada dunia pada masa depan.

“Tetapi, buat masa ini, bukan kerja kita untuk mempromosi idea dan ideologi China, tetapi mencari cara bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripadanya.”

Katanya, kerajaan perlu mengkaji OBOR secara menyeluruh sebelum memberi sokongan sepenuhnya.

“Di Malaysia, kita ada rakyat berbilang kaum dan rasa perkauman masih dominan.

“Kita tidak mahu rakyat kita fikir selepas dipengaruhi Barat, kita kini berubah dan terpengaruh oleh China.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.