
Menurut Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Kasim Muda, bangkai haiwan itu ditemukan tanpa gading dan dipercayai telah mati lima hari lalu.
“Pekerja Ladang Bimbingan 2, Beluran telah menghidu bau busuk di kawasan ladang terbabit yang akhirnya membawa kepada penemuan bangkai gajah Pygmy jantan itu dianggarkan berusia lingkungan 25 tahun, mempunyai berat 2.5 tan.
“Semasa bedah siasat telah mengesan beberapa luka lama dipercayai kesan tembakan pada bahagian punggung gajah tersebut namun tidak menembusi bahagian kulit. Punca kematian masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kasim berkata suspek belum dikenal pasti dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Beluran untuk membantu siasatan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 25(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memburu haiwan dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran Jabatan Hidupan Liar Sabah, katanya.
Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Hidupan Liar negeri Augustine Tuuga mengesahkan bangkai gajah Pygmy itu ditemukan oleh pekerja ladang berkenaan sekitar pagi Sabtu dan segera menghubungi pihak berkuasa.
“Penemuan ini amat menyedihkan. Bedah siasat telah dijalankan di tempat penemuan bangkai tersebut,” katanya.
Pada 25 Sept lepas, bangkai seekor gajah Pygmy ditemukan di Sungai Udin Dumpas, Kalabakan, Tawau juga dengan kesan tembakan, yang mana enam individu ditahan untuk membantu siasatan.