Jauhi kapal perang dari Asia Tenggara, PM beritahu kuasa asing

Jauhi kapal perang dari Asia Tenggara, PM beritahu kuasa asing

Dr Mahathir Mohamad berkata, kemalangan boleh menyebabkan perang berlaku.

Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis yang bertemakan ‘Malaysia Beyond 2020’ di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad menggesa kuasa asing utama menjauhi kapal perang mereka dari Asia Tenggara bagi mengelakkan “kemalangan” dan mengekalkan keamanan di rantau ini.

Perdana menteri berkata, kestabilan adalah penting kerana kedudukan rantau ini yang strategik bagi perdagangan.

“Rayuan kami kepada kuasa besar ialah menjauhi semua senjata perang ini daripada kawasan ini.

“Mungkin ada kemalangan dan seperti yang anda tahu, kemalangan boleh menyebabkan perang berlaku,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis bertemakan “Malaysia Beyond 2020” hari ini.

Beliau berkata, Malaysia perlu mengekalkan hubungan mesra dengan semua negara kerana perdagangan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

Bulan lalu, Mahathir dilaporkan berkata, Malaysia tidak berasa terancam dengan kehadiran kapal perang China di Laut China Selatan atau rancangan Amerika Syarikat menempatkan peluru berpandu di kawasan itu.

“Bagaimanapun, kemungkinan berlakunya insiden menjadi kebimbangan kita. Jika berlaku insiden lalu mencetuskan pertempuran, kita tidak akan terbabit. Kita tidak akan berpihak kepada sesiapa,” katanya.

Ogos lalu, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, Asean mahu kehadiran kapal perang di Laut China Selatan dikurangkan untuk menjamin keamanan dan kestabilan, keselamatan serta kebebasan pelayaran.

Hari ini, Mahathir berkata, Asia Tenggara ialah titik transit bagi perdagangan dan perniagaan antara negara Timur serta Barat.

“Buat masa ini, laluan perdagangan masih bebas daripada halangan di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Tetapi, apabila kapal perang dihantar ke kawasan ini, akan wujud ketegangan.”

Setakat ini, katanya, tiada “kuasa besar” yang cuba mencetuskan krisis.

“Dasar Malaysia ialah sentiasa mesra kepada semua. Kita tidak peduli mereka mempunyai sistem apa atau ideologi apa yang mereka amalkan.

“Kita mahu berdagang dengan mereka dan untuk berdagang dengan mereka, kita perlu mesra dengan mereka. Sudah tentu akan ada orang yang menimbulkan kesukaran, tetapi kita perlu bertolak ansur dengannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.