Membeli barang dalam talian perkara yang paling menyeronokkan, kerana lebih mudah dan pantas berbanding membeli belah di pasaraya yang perlu bersesak dengan orang ramai.

Apatah lagi pada hari minggu, ia akan menjadi hari yang memenatkan apabila keluar ke lokasi seperti itu untuk membeli keperluan anda.
Sebab itulah ramai yang beralih untuk memilih barangan secara online.

Namun ia tetap mempunyai risiko seperti barang yang dipesan tidak sampai walaupun pembayaran telah dilakukan.
Ada juga barang yang dipesan itu tidak sama dengan apa yang ditempah sebelum ini.
Kes-kes ini boleh diklasifikasikan sebagai kes penipuan dan apakah sebenarnya tindakan yang harus dilakukan?
1. Hubungi penjual berkenaan
Biasanya mereka akan memulangkan semula wang (refund) atau mengganti dengan barang yang baru.
Namun jika tidak, kes tersebut boleh dibawa ke mahkamah namun ada beberapa prosedur yang anda perlu tahu untuk mengambil langkah tersebut.
Secara asasnya, jika penjual bersetuju menerima wang sewaktu melakukan pembayaran, maka terjadinya satu kontrak di situ berdasarkan Seksyen 10 Akta Kontrak 1950:
“Semua perjanjian adalah kontrak jika dibuat atas kerelaan bebas pihak-pihak yang layak membuat kontrak, untuk sesuatu balasan yang sah, dan dengan sesuatu tujuan yang sah; dan tidak ditetapkan dengan nyata di bawah peruntukan Ordinan ini bahawa ianya batal”.
Ini bermakna, anda sebagai pembeli perlu membayar seperti harga yang telah ditetapkan dan penjual pula harus memberi barangan setelah pelanggan membuat pembayaran. Jika pembeli tidak menerima atau barangan tersebut rosak, maka penjual dikatakan telah melanggar kontrak.
Apa yang terjadi jika penjual melanggar kontrak?
Berdasarkan Seksyen 40 Akta Kontrak 1950, anda boleh membatalkan transaksi jual beli. Bahkan, dalam Seksyen 76 ada mengatakan bahawa anda boleh menuntut kerugian dengan mengambil tindakan saman ke atas penjual.
2. Sekiranya penjual silap menggambarkan produknya
Pasti anda biasa dengar barang yang mereka beli tidak sama seperti apa yang dilihat di laman web secara online.
Dalam hal ini, anda boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap si penjual.
Dinasihatkan untuk mendapatkan “refund” atau menggantikan produk dengan produk yang baru terlebih dulu.
Jika penjual itu didapati bertanggungjawab ke atas kesilapan tersebut, anda mempunyai pilihan untuk menamatkan atau meneruskan kontrak:
Menamatkan kontrak – Seksyen 34(1) Akta Relief Spesifik 1950 menyatakan bahawa kontrak boleh dibatalkan dengan cara penjual mengembalikan wang dan pembeli mengembalikan barangan yang dibeli seperti tidak berlakunya urusan jual beli tersebut.
Meneruskan kontrak – Seksyen 19 Akta Kontrak 1950 menyatakan bahawa jika anda memilih untuk meneruskan kontrak, anda mungkin akan berhak untuk mendapat ganti rugi, jika mengalami apa-apa kerugian daripada transaksi tersebut.
Anda boleh juga memaksa penjual untuk menggantikan pakaian yang telah dihantar itu.
3. Gunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK)
Langkah pertama, anda perlu menyuarakan aduan ke Bahagian Pengurusan Pengguna supaya siasatan boleh dijalankan, kemudian mereka akan meyalurkan kes anda ke Tribunal Tuntutan Pengguna.
Cara ini lebih berpatutan dan cepat jika nilai tuntutan kurang daripada RM25,000 dan tidak melibatkan peguam daripada kedua-dua belah pihak.
Anda sendiri yang akan membicarakan kes anda di mahkamah dengan bantuan ahli Tribunal.
4. Buat laporan polis
Laporan polis yang dibuat boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah atau pun dengan Tribunal Tuntutan Pengguna.
Pihak polis akan menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan kepada penjual di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan yang menyatakan larangan perihal dagangan palsu.
Buatlah keputusan yang lebih bijak!
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]