
Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, sekiranya ramai pemimpin Umno dibekukan akaun kerana dituduh mengambil wang dana 1MDB, apakah pula tindakan kerajaan bagi pertubuhan yang didapati meyumbangkan dana kepada kumpulan pengganas.
“Menurut Akta Pertubuhan 1966, mana-mana pertubuhan yang terlibat dengan aktiviti keganasan boleh dibubarkan.
“Adakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang untuk bubarkan DAP sebab terlibat dengan LTTE,” katanya sewaktu membahas Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.
Kenyataan tersebut disanggah oleh Cha Kee Chin (DAP-Rasah) yang menggesa Bung supaya menarik balik kenyataan tersebut.
Sementara itu RSN Rayer (DAP-Jelutong) melaungkan “peraturan mensyuarat” di sebalik kekecohan tersebut.
“Ini melampaulah Yang Berhormat,” katanya.
Insiden kecoh ini kejadian kedua hari ini selepas Dewan Rakyat kecoh awal hari ini ekoran kenyataan ahli Parlimen Arau yang mengaitkan Belanjawan 2020 sebagai rasi dan komunis.
Shahidan Kassim menyifatkan Belanjawan 2020, yang dibentang Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 11 Okt lalu, sebagai “komunis” dan “rasis” kerana penggunaan istilah saksama dan mendakwa peruntukan bagi kaum India dikurangkan.
“Mana boleh kurangkan (peruntukan).
“Daripada pemberian sebanyak RM50 juta menjadi RM20 juta. Kasihan ahli Parlimen (kaum India) pun tak diberi apa-apa jawatan, macam mana?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020 hari ini.
Kenyataan itu turut ditepis RSN Rayer sambil berkata, fakta Shahidah tidak tepat.
Awal bulan ini, 12 individu, termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE.
BERITA LANJUT MENYUSUL