Dewan Rakyat kecoh, Belanjawan 2020 dilabel ‘komunis’, rasis

Dewan Rakyat kecoh, Belanjawan 2020 dilabel ‘komunis’, rasis

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim mendakwa Belanjawan 2020 rasis kerana peruntukan bagi kaum India berkurangan RM30 juta.

Noraini Ahmad mempertahankan Shahidan Kassim selepas beliau menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai ‘komunis’ dan rasis.
PETALING JAYA:
Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim menyifatkan Belanjawan 2020, yang dibentang Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 11 Okt lalu, sebagai “komunis” dan “rasis” kerana penggunaan istilah saksama dan mendakwa peruntukan bagi kaum India dikurangkan.

“Mana boleh kurangkan (peruntukan).

“Daripada pemberian sebanyak RM50 juta menjadi RM20 juta. Kasihan ahli Parlimen (kaum India) pun tak diberi apa-apa jawatan, macam mana?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020 hari ini.

Kenyataan itu ditepis RSN Rayer (PH-Jelutong) yang berkata, fakta berkenaan tidak tepat.

“Bajet mana ni Yang Berhormat? Jangan paksa kita guna Peraturan Mesyuarat.”

Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) bangkit mempertahankan Shahidan dengan berkata, kenyataan itu bersandarkan kepada dasar kewangan negara.

“Ini dasarlah Jelutong. Dasar!”

Shahidan berkata, Belanjawan 2020 yang bertemakan “Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama” bersifat fahaman komunis kerana menggunakan istilah saksama.

“Ia patut disebut keadilan,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang disambut gelak tawa ahli Parlimen pembangkang serta bantahan daripada wakil rakyat parti pemerintah.

“Inilah bahaya ketum,” celah Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang menambah kenyataan Shahidan mengelirukan dewan.

Keadaan bertambah riuh apabila Shahidan yang juga bekas menteri besar Perlis menggelar Rayer sebagai “YB bodoh”.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof segera meminta Shahidan menarik balik kenyataan itu.

“Baiklah, yang bodoh itu saya tarik balik,” kata Shahidan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.