‘Kompromi Merdeka’ bukan hipotetikal, MPN jawab Ramasamy

‘Kompromi Merdeka’ bukan hipotetikal, MPN jawab Ramasamy

Zainal Kling juga berhak suarakan realiti sejarah, kata Majlis Profesor Negara.

PETALING JAYA: Majlis Profesor Negara (MPN) menegaskan Zainal Kling berhak menyuarakan pandangan berdasarkan kepakaran sejarah yang menjadi bidangnya, menepis dakwaan ia menyokong ketua penganjur Kongres Maruah Melayu itu secara membuta tuli.

Menjawab komen Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, syarikat itu merujuk kepada ucapan Zainal pada kongres 6 Okt lalu, yang berkata Malaysia negara orang Melayu sepertimana China negara orang Cina, dan menyentuh konsep kontrak sosial.

Berkaitan negara orang Melayu, MPN berkata Zainal mewacanakan sejarah Malaysia, bahawa ia sejak awal lagi tanah air orang Melayu, dan perkara itu tidak cacat dari segi akademik.

“Hakikat ini dipersetujui oleh para pengkaji yang berwibawa, termasuklah pengkaji-pengkaji Inggeris,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Para pendatang telah berhijrah ke Tanah Melayu ini sejak penghujung abad ke-19. Dan jika Ramasamy tidak bersetuju dengan pandangan ini, tentulah beliau bebas menurut suara hati atau imaginasinya.”

Berkaitan kontrak sosial pula, MPN berpendirian “kompromi Merdeka” itu bukan sesuatu yang bersifat hipotetikal atau imaginasi.

“Proses mencapai kontrak sosial ini benar-benar terjadi ketika perundingan berlangsung ke arah menghasilkan Laporan Suruhanjaya Reid 1956 melibatkan pelbagai pihak.

“Isi kandungan laporan inilah yang digubal menjadi teras Perlembagaan Persekutuan 1957 untuk menjadi undang-undang asas Persekutuan Tanah Melayu,” tambahnya.

MPN berkata hujah yang menafikan “kontrak sosial” itu terjadi kerana pengkritik tidak terlibat secara langsung dalam perundingan 62 tahun lalu itu “terlalu rapuh, cetak dan melucukan”.

“Pengikutnya tidak lain dan tidak bukan adalah badut yang tidak perlu dicontohi,” tambahnya.

Kelmarin, Ramasamy membidas MPN kerana mempertahankan komen Zainal pada kongres yang dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu, mengatakan kontrak sosial yang diperkatakan itu kabur dan khayalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.