Bekas kakitangan Utusan diberi khidmat guaman percuma tuntut hak

Bekas kakitangan Utusan diberi khidmat guaman percuma tuntut hak

Pekerja berhak mengambil langkah berlandaskan undang-undang bagi mendapatkan gaji dan tunggakan seperti dijanjikan syarikat.

Pemberhentian operasi Utusan Melayu berkuat kuasa awal bulan ini menyebabkan lebih 800 pekerjanya hilang pekerjaan dalam sekelip mata.
KUALA LUMPUR:
Selepas menjadi mangsa penutupan operasi syarikat, pekerja-peekrja Utusan Melayu (M) Berhad semalam diberi khidmat nasihat percuma oleh seorang peguam.

Peguam, Ku Amirul Faiz Ku Seman berkata, khidmat secara percuma itu diberikan bagi membolehkan mereka mendapat hak sepatutnya, termasuk tunggakan gaji dan pampasan.

Peguam Ku Amirul Faiz Ku Seman.

Katanya, semua pekerja berhak mengambil langkah berlandaskan undang-undang bagi mendapatkan gaji dan tunggakan seperti dijanjikan pihak syarikat sebelum menamatkan khidmat mereka.

“Perbincangan hari ini (semalam) fokus kepada kebajikan bekas kakitangan Utusan dan apakah hak mereka selepas syarikat ditutup.

“Mereka perlu tahu hak mereka sebagai bekas kakitangan yang diberhentikan dan dicutikan. Asasnya hak pekerja adalah gaji dan tunggakan gaji. Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) juga perlu diberikan seperti yang dijanjikan.

“Saya difahamkan ada kakitangan yang masih tidak mendapat gaji dari bulan Ogos. Pampasan VSS pun masih tidak dapat,” katanya kepada FMT semalam.

Beliau berkata, pekerja Utusan yang dinafikan hak untuk mendapat pampasan dan gaji berhak membuat tuntutan di mahkamah.

Katanya, beliau perlu meneliti fakta kes melibatkan kakitangan memandangkan setiap mereka mempunyaj isu berbeza, termasuk had pendapatan yang diperoleh sebelum ia boleh dituntut mahkamah.

“Kalau isu berkaitan perindustrian, dalam 60 hari boleh buat tuntutan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan, tetapi isu lain saya tidak pasti lagi,” katanya,

Terdahulu Ku Amirul mengadakan pertemuan dengan lebih 30 bekas kakitangan Utusan di Cheras.

Difahamkan terdapat kakitangan yang dijanjikan VSS juga belum menerima bayaran penuh sehingga kini.

Utusan Melayu berhenti operasi berkuat kuasa awal bulan ini selepas lembaga pengarahnya meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang berikutan masalah kewangan dihadapi syarikat akhbar berusia 80 tahun itu.

Pengerusi Eksekutifnya Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam surat makluman yang dihantar kepada pekerja berkata, langkah itu dibuat selepas usaha menyelamatkan syarikat menemui jalan buntu.

Ia termasuk langkah menawarkan VSS kepada kakitangan dan penjualan aset.

Bekas ketua pengarang Utusan Melayu Johan Jaafar sebelum ini mendakwa keputusan menutup akhbar tersebut merupakan pertimbangan perniagaan syarikat semata-mata sehingga menyebabkan lebih 800 pekerja hilang pekerjaan dalam sekelip mata.

“Dalam proses ini nampaknya yang diselamatkan adalah jenama dan lesen surat khabar, tetapi kebajikan pekerja tidak diberi perhatian. Ini pertimbangan perniagaan semata-mata,” katanya.

Bekas ketua pengarang Utusan Melayu Johan Jaafar sebelum ini mendakwa keputusan menutup akhbar tersebut merupakan pertimbangan perniagaan syarikat semata-mata sehingga menyebabkan lebih 800 pekerja hilang pekerjaan dalam sekelip mata.

“Dalam proses ini nampaknya yang diselamatkan adalah jenama dan lesen surat khabar, tetapi kebajikan pekerja tidak diberi perhatian. Ini pertimbangan perniagaan semata-mata,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.