Ahli akademik tolak mitos penduduk luar bandar malas

Ahli akademik tolak mitos penduduk luar bandar malas

Penduduk luar bandar menghadapi kesukaran untuk beralih kepada teknologi baru kerana kekurangan modal dan risiko yang tinggi.

Serina Abdul Rahman berkata, penduduk luar bandar terperangkap dalam ‘kitaran hal keadaan yang sukar’.
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli akademik mempersoal pandangan yang mendakwa penduduk luar bandar malas dan tidak produktif dengan berkata, mereka masih kekurangan akses kepada bantuan diperlukan untuk keluar dari garis kemiskinan di bawah kerajaan sekarang.

Serina Abdul Rahman dari Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura juga berkata, selepas pilihan raya tahun lepas, berlaku peningkatan dalam persepsi bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu memantu penduduk luar bandar.

Katanya, ini disebabkan tindakan kerajaan membatalkan skim seperti BR1M dan terus-menerus membuat kenyataan tentang ketidakemampuan mereka (penduduk luar bandar) berubah dan melakukan pembaikan kendiri.

Serina, yang melakukan kajian di sebuah kampung nelayan di Johor berkata, penduduk luar bandar kerap terperangkap dalam kitaran hal keadaan yang sukar yang menyebabkan mereka mengalami kepayahan dalam menghadapi peningkatan kos hidup.

Katanya, penduduk luar bandar juga menghadapi kesukaran untuk beralih kepada teknologi baru kerana kekurangan modal dan risiko yang tinggi.

“Sukar bagi mereka, misalnya untuk beralih kepada akuakultur, yang dikemukakan sebagai penyelesaian (kepada nelayan). Mereka mahu dapatkan modal dari mana?”, soalnya semasa perbincangan panel bertajuk “Redefining Malaysian Politics – Moving Away from Identity to Politics” bersempena Persidangan Liberalisme ke-4 yang dianjurkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) di sini, semalam.

Serina berkata, tidak ramai wakil rakyat yang bersedia melawat kawasan luar bandar bagi mendapatkan maklumat.

“Siapakah yang pergi ke warung, jeti atau kampung? Tidak ada.

“Ada pihak yang berpura-pura sebagai wakil dan bercakap bagi pihak mereka (penduduk luar bandar), tetapi berapa ramaikah yang tahu atau ambil peduli tentang keadaan sebenar yang berlaku?”, soalnya lagi.

Serina berkata, mekanisme pengagihan bantuan kerajaan tidak berkesan kerana kewujudan orang tengah.

Beliau bertanya sama ada wakil kampung, ketua kampung atau wakil cawangan parti politik, yang lazimnya mewakili penduduk luar bandar, menjadi penghalang akses penduduk kepada sumber dan bantuan kerajaan.

“Misalnya kita tahu, terdapatnya bantuan untuk nelayan dan perkara ini telah diumumkan beberapa kali.

“Tetapi di akar umbi, ia tidak sampai kepada mereka. Ia sebaliknya sampai kepada persatuan nelayan wilayah dan setelah itu disonglap, sama ada oleh kawan, keluarga atau kroni atau mereka yang tidak pergi ke laut pun.

“Nelayan tidak mendapat apa-apa kerana mereka tidak termasuk ke dalam kelompok menonjol. Mereka tidak ada hubungan dengan orang yang berada dalam hirarki itu,” katanya.

Serina berkata, susulan hal keadaan itu, penduduk luar bandar lebih terdedah kepada pengaruh luar daripada kumpulan politik yang mengapi-apikan ketegangan kaum.

“Telah banyak kita bincangkan keadaan ini dalam kalangan penyelidik. Kami dapati jika kerajaan dapat memenuhi keperluan ekonomi mereka, penduduk luar bandar tidak akan kembali kepada politik kaum dan agama.

“Di tempat yang saya pergi, penduduknya bercampur. Ada nelayan Cina dan hubungan mereka dengan (nelayan Melayu) sangat baik.

“Tidak ada ketegangan kaum di peringkat akar umbi. Ia diapi-apikan oleh ahli politik.

Serina berkata, jika penduduk luar bandar menyaksikan pembaikan dalam keadaan ekonomi masing-masing, mereka mungkin akan dapat beralih daripada politik identiti dan kaum.

“Jika semua orang ada talian hayat, jika semua orang dapat melihat bantuan yang dijanjikan dalam media benar-benar sampai kepada mereka, maka akan lebih mudah untuk menarik mereka keluar daripada politik etnik dan benar-benar membangunkan negara bersama-sama.”

Dalam pada itu, seorang lagi ahli panel, ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata, penyelesaian masalah dan peningkatan pertumbuhan ekonomi tidak semestinya mencetuskan peralihan daripada politik identiti kerana “kita bercakap tentang cara berfikir yang hidup bersama-sama kita sejak sekian lama”.

Sebaliknya beliau menggesa kerajaan melaksanakan syor yang dibuat oleh Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (NUCC) yang ditubuhkan pada 2013 selepas pilihan raya umum ke-13.

Salah satu daripada syor majlis tersebut ialah memperkenalkan undang-undang berkaitan keharmonian negara dan ucapan kebencian.

“Mereka mengesyorkan dua undang-undang, iaitu Rang Undang-undang Keharmonian dan Perpaduan Nasional dan Rang Undang-undang Anti Perkauman dan Jenayah,” katanya.

Maria berkata, NUCC juga mengesyorkan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Perpaduan Nasional.

Katanya, syor itu akan mewujudkan satu duluan undang-undang tentang perlunya keharmonian kaum dan agama di negara ini dipertahankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.