Abominable tidak akan ditayang di Malaysia, penerbit tolak syarat LPF

Abominable tidak akan ditayang di Malaysia, penerbit tolak syarat LPF

Universal memutuskan untuk tidak memotong bahagian dikehendaki oleh LPF Malaysia dan oleh itu, tidak akan menayangkan Abominable di Malaysia, kata seorang jurucakap pengedar filem United International Pictures.

Universal telah memutuskan untuk tidak memotong bahagian dikehendaki oleh LPF Malaysia dan tidak akan menayangkan Abominable di Malaysia.
KUALA LUMPUR:
DreamWorks, penerbit Abominable, tidak akan menayangkan filem animasi itu di Malaysia berikutan keputusan pihaknya tidak mahu memenuhi syarat Lembaga Penapis Filem (LPF) agar mengeluarkan adegan yang menunjukkan peta kontroversi China di Laut China Selatan.

Garisan berbentuk “U” digunakan dalam peta China untuk menggambarkan tuntutan wilayahnya di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber, termasuk kawasan dituntut negara-negara lain termasuk Malaysia.

Vietnam telah mengharamkan filem itu minggu lepas sementara menteri luar Filipina menggesa bahagian yang menunjukkan peta itu dipotong dan filem tersebut diboikot.

Minggu lalu, LPF berkata ia telah memberi lampu hijau untuk filem itu ditayangkan di pawagam Malaysia jika bahagian peta kontroversi dibuang.

“Universal telah memutuskan untuk tidak memotong bahagian dikehendaki oleh Lembaga Penapis Filem Malaysia dan oleh itu tidak akan dapat menayangkan filem itu di Malaysia,” kata seorang jurucakap pengedar filem United International Pictures kepada Reuters.

LPF tidak memberi sebarang ulasan segera. Filem itu dijadualkan untuk tayangan di pawagam di Malaysia pada 7 Nov.

Minggu lalu, LPF mengarahkan adegan menggambarkan “garis sembilan” – merujuk kepada wilayah didakwa milik China di Laut China Selatan, dikeluarkan dari Abominable.

LPF berkata ia memberi lampu hijau untuk filem itu ditayangkan di pawagam tanpa adegan menggambarkan peta wilayah China.

“Filem animasi bertajuk Abominable telah diberikan kelulusan untuk tayangan di Malaysia dengan syarat peta kontroversi dikeluarkan,” kata Pengerusi LPF, Mohamad Zamberi Abdul Aziz.

China sejak sekian lama membuat tuntutan di Laut China Selatan berdasarkan ‘garis sembilan’ yang tidak diiktiraf Asean.

Abominable adalah filem hasil kerjasama antara DreamWorks dan Pearl Studio, China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.