Hew: Komik ‘Jalur dan Jalan’ jadi kontroversi kerana PRK Tanjung Piai

Hew: Komik ‘Jalur dan Jalan’ jadi kontroversi kerana PRK Tanjung Piai

Hew Kuan Yau berkata buku komik itu jadi isu kerana kerajaan mahu mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

Hew Kuan Yau muatnaik gambar Presiden China Xi Jinping membaca buku komiknya semasa forum Jalur dan Jalan di Beijing. Bersamanya adalah Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hew Kuan Yau berkata buku komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” mencetuskan kontroversi kerana Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai semakin hampir.

Memandangkan pilihan raya itu, buku komik itu jadi isu kerana kerajaan mahu mendapatkan sokongan pengundi Melayu, katanya.

Dalam catatannya di Facebook, dia juga menyentuh catatan FB bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa komik itu propaganda DAP, memburuk-burukkan kerajaan lama dan beliau.

Dimuat Naik bersama catatan FB Hew adalah gambar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden China Xi Jinping membacakan buku komik itu semasa pertemuan di China pada April sempena forum Jalur dan Jalan.

“Ini adalah gambar yang akan sentiasa ditafsirkan dalam pelbagai cara,” kata Hew.

“Umno dan PH akhirnya akan temui kebuntuan sementara usaha saya telah meningkatkan hubungan antara Malaysia dan China.”

Semalam, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan buku komik itu bukan hadiah rasmi semasa pertemuan itu dan Dr Mahathir Mohamad tidak pernah terlibat dalam penerbitannya atau mengetahui isi kandungannya.

Penerbit, Asia Comics and Cultural Museum, yang diketuai Hew, pernah berkata komik itu mengenai Inisiatif Jalur dan Jalan yang diusahakan Beijing.

Kerajaan Pulau Pinang berkata ia tiada kaitan dengan muzium itu, hanya memberi peruntukan untuk membiayai bayaran sewa bangunan kerana menganggap ia sebahagian daripada produk pelancongan negeri itu.

DAP Pulau Pinang juga menolak dakwaan ia ada kaitan dngan muzium itu. Pengerusi Chow Kon Yeow berkata pihaknya tidak tahu mengenai kewujudan komik tersebut.

Kementerian Pendidikan menegaskan ia tidak pernah memberi kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran komik itu kepada institusi pendidikan, termasuk sekolah.

Kenyataan itu menyusuli laporan yang diterima berkaitan edaran komik itu ke sekolah di seluruh Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri pula berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam penerbitan dan pengedaran komik “yang didakwa berunsur propaganda”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.