
“Pertama sekali saya ingin memaklumkan kami tidak akan meneruskan hajat untuk menyaman UM kerana mereka telah kembalikan ijazah Wong,” kata Asheeq Ali yang mewakili pelajar itu.
Bercakap kepada pemberita di UM hari ini, Asheeq bagaimanapun berkata, pihaknya tidak berpuas hati berhubung kenyataan lembaga pengarah universiti itu yang berkata ia tidak menahan skrol dan transkrip akademik Wong dan menyifatkannya sebagai “menipu”.
“Saya melihat satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh lembaga pengarah UM bertarikh 19 Okt yang menyatakan UM tidak menahan ijazah graduan Wong.
“Saya nak menyatakan bahawa kenyataan itu ‘menipu’ semata-mata kerana ijazah telah ditahan dan dia (Wong) tidak dapat ambil ijazah tersebut dari tarikh bergraduasi sehingga mereka panggil ambil ijazah tersebut semalam,” katanya.

Asheeq mendesak UM tampil membetulkan kenyataan dan menjelaskan kepada orang ramai mengapa Wong dihalang mengambil skrol ijazah pada 16 Okt lepas.
“Mereka telah menahannya, jadi tidak wajar kata tidak menahan sijil Wong. Kami perlukan penjelasan yang sewajarnya daripada pihak UM dan meminta mereka betulkan kenyataan dan jelaskan kenapa lewat serah sijil,” katanya.
UM hari ini berkata, ia tidak menahan skrol dan transkrip akademik atau menarik balik ijazah graduan yang mengadakan protes dengan membawa plakad mengecam naib canselor universiti itu semasa istiadat konvokesyen Isnin lalu.
Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata, pengedaran skrol dan transkrip akademik secara berpusat dilakukan mulai 12 hingga 20 Okt.
“Graduan terbabit telah pun dimaklumkan bahawa transkrip akademiknya boleh diambil pada bila-bila masa bermula 18 Okt.
“Graduan juga boleh mengakses dan mencetak skrol secara atas talian melalui sistem graduand.um.edu.my mulai 21 Okt,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, UM menghormati hak dan prinsip kebebasan bersuara setiap individu yang bernaung di bawah pusat pengajian tinggi itu.
Katanya, setiap warga universiti, termasuk mahasiswa, diberikan kesempatan dan ruang yang luas untuk menyuarakan pendapat dan pandangan dalam apa jua aspek.
Sementara itu, Wong ketika ditemui berkata jika pihak universiti ikhlas membenarkan hak kebebasan bersuara, maka mereka perlu menbarik balik laporan polis yang dibuat terhadapnya.
“Kalau universiti mempertahankan hak bersuara, kenapa sampai sekarang hanya cakap sahaja, keluarkan kenyataan sahaja, tetapi tidak tarik balik laporan polis yang dibuat terhadap saya untuk membuktikan mereka mempertahankan hak bersuara.
“Saya masih tidak rasa pihak universiti berada di landasan yang betul,” katanya.
Wong berkata, beliau bersedia bersemuka dengan naib canselor universiti berkenaan untuk berbincang sebaik sahaja laporan polis ditarik.
Wong membawa sekeping plakad ke pentas semasa majlis konvokesyennya pada Isnin,g menggesa peletakan jawatan naib canselor UM Abdul Rahim Hashim.
Beliau memberitahu FMT bahawa protes terhadap Rahim dibuat kerana nama universiti berkenaan digunakan untuk tujuan perkauman dan politik berikutan penglibatan universiti itu dalam penganjuran Kongres Maruah Melayu bersama-sama tiga institusi pendidikan awam lain di Shah Alam baru-baru ini.
Berikutan kejadian itu, UM membuat laporan polis terhadap Wong atas alasan beliau tidak menghormati majlis dan mengganggu protokol acara.