Tiada pihak ketiga tuntut RM2.4 juta dirampas daripada Umno Pahang

Tiada pihak ketiga tuntut RM2.4 juta dirampas daripada Umno Pahang

Mahkamah menetapkan 18 Nov untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan 6 Dis bagi mendengar permohonan kerajaan untuk melucut hak wang itu.

Pada 26 Julai, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pendakwaan selaku pemohon untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan terhadap wang dalam permohonan melucut hak ke atas harta itu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tiada pihak ketiga berkepentingan yang hadir bagi menuntut wang berjumlah RM2,479,300.18 yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Umno Pahang yang dikatakan berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Rozana Ali Yusof yang turut dihadiri peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor yang mewakili Umno Pahang yang merupakan responden.

“Pada 10 September lalu, kami mewartakan notis kepada pihak ketiga untuk hadir, namun hari ini tiada sesiapa pun hadir ke mahkamah untuk menuntut. Sehubungan itu, saya memohon satu tarikh untuk memfailkan hujahan bertulis,” katanya.

Mahkamah menetapkan 18 Nov untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan 6 Dis bagi mendengar permohonan kerajaan untuk melucut hak terhadap wang itu.

Pada 26 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan selaku pemohon untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan terhadap wang itu dalam permohonan melucut hak ke atas harta tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya berkata, permohonan pelucutan hak difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.