Naib canselor UM dapat sokongan kumpulan pelajar, pemimpin PPBM

Naib canselor UM dapat sokongan kumpulan pelajar, pemimpin PPBM

Mereka menuduh pengkritik tidak menghormati kebebasan akademik Abdul Rahim Hashim.

Ahli GPMS menunjuk perasaan menyokong Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim hari ini.
KUALA LUMPUR:
Sekumpulan pelajar hari ini berhimpun di luar Universiti Malaya bagi menyokong Naib Canselor Abdul Rahim Hashim, manakala seorang pemimpin PPBM mengecam tunjuk perasaan solo seorang graduan sebagai biadab dan memalukan.

Penunjuk perasaan dari Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata Rahim ada kebebasan akademik untuk menyertai Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt lepas, yang mengundang kontroversi kerana ucapan-ucapan di acara itu.

Presiden GPMS Mohd Alif Anas berkata Rahim menggunakan haknya dalam kapasiti sebagai seorang ahli akademik.

Perkembangan ini selepas graduan Wong Yan Ke disiasat kerana tunjuk perasaan terhadap Rahim selepas menerima ijazahnya semasa majlis konvokesyen UM baru-baru ini.

Alif menggesa pengkritik Rahim menghormati kebebasan akademiknya.

“Kami ingin mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia dan Menteri Maszlee Malik memberi jaminan dan perlindungan kepada universiti dan naib canselornya sepenuhnya atas prinsip kebebasan akademik,” katanya di himpunan selepas solat Jumaat di Masjid Ar-Rahman hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PPBM Dr Muhammad Faiz Na’aman mempertahankan Rahim, mengatakan tiada bukti beliau menuturkan kenyataan rasis seperti yang didakwa Wong.

Beliau berkata pengkritik seperti Wong “alergik dengan penyatuan Melayu oleh pihak akademik”.

“Bagaimana pula jika ada sultan atau Agong menyeru umat Islam bersatu padu ketika khutbah Jumaat atau ketika memberi ucapan sempena Aidilfitri, adakah itu juga dianggap rasis?” soalnya.

Wong, seorang graduan kejuruteraan sivil, memberitahu FMT dia menunjuk perasaan terhadap Rahim kerana membenarkan nama universiti itu digunakan di Kongres Maruah Melayu.

Kongres anjuran UM dan tiga universiti awam lain itu menjadi perhatian selepas Ketua Penganjur Zainal Kling dilapor berkata Malaysia negara orang Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.