Mahkamah tak pernah batal lantikan Amarjit, kata Shafie

Mahkamah tak pernah batal lantikan Amarjit, kata Shafie

Ketua menteri Sabah berkata, hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya hanya menyebut pelantikan Amarjit Singh sebagai pengarah Jabatan Air Negeri Sabah melanggar Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Shafie Apdal (tiga dari kanan) menyerahkan cek kepada penerima pada majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan kepada sekolah bukan Islam dan badan agama di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata, pelantikan Amarjit Singh sebagai pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mungkin melanggar undang-undang negeri, tetapi mahkamah tidak pernah mengisytiharkan jawatannya tidak sah dan terbatal.

Katanya, beliau sudah membaca penghakiman mahkamah mengenai kes itu dan tidak mendapati hakim mengisytiharkan pelantikan itu tidak sah.

Beliau berkata, hakim dalam penghakimannya hanya menyebut pelantikan itu melanggar Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

“Saya rasa penghakiman itu tidak menyatakan dengan jelas ia adalah haram.

“Ada sedikit pelanggaran, tetapi kita akan perbetulkan dan memastikan semuanya mengikut cara sepatutnya,” katanya selepas menghadiri satu acara di sini, hari ini.

Pada 9 Okt lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Ravinthran Paramaguru mengisytiharkan pelantikan Amarjit bertentangan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 yang menyatakan hanya penjawat awam boleh dilantik ke jawatan kanan JANS.

Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee yang juga presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) dan ahli perniagaan dari Tawau, Pang Thou Chung memfailkan saman itu pada 19 Mac lalu untuk memohon pengisytiharan terhadap status Amarjit.

Pada 15 Okt lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan membuat rayuan terhadap keputusan itu dan Seksyen 3(2) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 mungkin tidak terpakai ke atas Amarjit.

Shafie mengakui pengarah JANS perlu dilantik daripada kalangan penjawat awam, tetapi kerajaan sudah mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam melantik Amarjit secara kontrak.

“Saat dia dilantik sebagai kakitangan kontrak, dia ialah penjawat awam. Kemudian kita boleh letak dia di sana sebagai pengarah.”

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sebarang tindakan atau pengumuman oleh Amarjit mengenai kedudukannya sebagai pengarah tidak menyalahi undang-undang kerana ia sebenarnya diarahkan Kabinet negeri.

Beliau memberi contoh penamatan kontrak enam syarikat konsesi yang mengendalikan 58 loji rawatan air di Sabah sebelum ini.

“Itu bukan dilakukan beliau sendiri. Itu adalah keputusan Kabinet. Hanya Kabinet mempunyai hak untuk menamatkan kontrak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.