Jualan rendah punca Mara Digital Mall di Kuantan, Johor Bahru ditutup, kata kementerian

Jualan rendah punca Mara Digital Mall di Kuantan, Johor Bahru ditutup, kata kementerian

Mara Digital Kuantan dihentikan operasi pada Disember 2018 dan Mara Digital Johor Bahru pada Februari 2019.

Mara Digital Mall di Medan Mara, Kuala Lumpur masih beroperasi dengan 16 kios dan jualan tahunan lebih RM4.6 juta hingga Ogos.
KUALA LUMPUR:
Operasi Mara Digital Mall di dua negeri dihentikan memandangkan kadar jualan yang rendah dan tidak setimpal dengan kos operasi perniagaan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen di sini hari ini menjelaskan kadar jualan yang rendah dan tidak setimpal dengan kos operasi yang dikeluarkan menyebabkan penyewa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasi di premis itu.

“Mara Digital Kuantan dihentikan operasi pada Disember 2018 dan Mara Digital Johor Bahru pada Februari 2019,” kata KPLB.

Ia sebagai menjawab Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang mahu tahu status Mara Digital Mall di Medan Mara Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor; Kuantan, Pahang dan Johor Bahru, Johor.

Beliau juga mahukan penjelasan sama ada Mara akan menambahkan pembukaannya di negeri lain seperti yang dirancang dahulu.

KPLB berkata Mara Digital Menara Mara Kuala Lumpur masih beroperasi dengan 11 lot dan 16 kiosk melibatkan 11 orang usahawan dengan jumlah jualan tahunan sebanyak RM4,670,250 setakat Ogos lalu.

Menurut kementerian itu, Mara Digital Shah Alam dihentikan operasi pada Mac 2018 yang lalu bagi kerja-kerja menaik taraf premis berkenaan kepada Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam.

UTC Shah Alam beroperasi semula pada 15 Ogos 2018 dan Mara Digital tidak lagi diteruskan, sebaliknya hanya menjalankan perniagaan berkonsepkan ICT menggunakan kiosk sahaja, katanya.

KPLB menambah sekiranya terdapat keperluan pembukaan Mara Digital, Mara akan membuat kajian terperinci serta analisis kajian kemungkinan bagi memastikan ia dapat memberi manfaat kepada usahawan ICT yang terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.