Terengganu terima Wang Tunai Petroleum RM1.2 bilion setakat Sept

Terengganu terima Wang Tunai Petroleum RM1.2 bilion setakat Sept

Kerajaan negeri berterima kasih dengan kerajaan pusat kerana menyalurkan WTP meskipun kadar hutang Terengganu dipotong agak tinggi iaitu 25%.

Terengganu menerima RM1.277 bilion Wang Tunai Petroleum sejak Jan hingga Sept lepas. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu hari ini mengesahkan menerima sebanyak RM1.277 bilion Wang Tunai Petroleum (WTP) sejak Jan hingga Sept lepas.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri berterima kasih dengan kerajaan pusat kerana menyalurkan WTP itu meskipun kadar hutang Terengganu yang dipotong agak tinggi iaitu 25%.

Sambil menzahirkan kesyukuran, beliau berkata RM1.277 bilion itu adalah jumlah selepas Kementerian Kewangan memotong hutang kerajaan negeri 25%, bersamaan dengan RM129 juta.

Menurutnya pada Mei 2018, jumlah hutang asal Terengganu ialah lebih RM700 juta, dan kini selepas pemotongan 25%, bakinya dijangka dapat dilangsaikan tahun depan.

“Jadi, Terengganu akan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang tiada hutang (jika Kementerian Kewangan meneruskan potongan hutang 25%),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri masih cuba berunding dengan Kementerian Kewangan untuk menurunkan kadar potongan hutang daripada 25% kepada kadar yang lebih munasabah.

“Walaupun untuk jangka masa panjang memang ada positifnya untuk kerajaan negeri dan kewangan (bebas hutang), tapi untuk 2020, Terengganu berdepan dengan keadaan paling mencabar sebab kita ada komitmen sebanyak RM403 juta Bayaran Tertangguh dan Bayaran Berjadual yang perlu dibayar.

“Ia adalah jumlah tertinggi dalam keseluruhan bayaran. Sebab itu kita masih cuba berunding, rayu dengan Kementerian Kewangan supaya potongan hutang 25% itu dapat dikurangkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.