Puluhan tokoh kutuk tindakan ahli Parlimen Perancis ‘serang’ wanita Islam

Puluhan tokoh kutuk tindakan ahli Parlimen Perancis ‘serang’ wanita Islam

Seorang penggubal undang-undang pelampau kanan mengarahkan seorang wanita Islam menanggalkan tudungnya pada satu mesyuarat majlis serantau baru-baru ini.

Seorang penggubal undang-undang pelampau kanan menyerang seorang wanita Islam secara lisan dengan mengarahkannya menanggalkan tudung. (Gambar Reuters)
PARIS:
Berpuluh-puluh ahli akademik, artis, pengarah filem, aktor dan wartawan menggesa Presiden Perancis Emmanuel Macron mengutuk tindakan seorang penggubal undang-undang pelampau kanan yang menyerang seorang wanita Islam secara lisan, Selasa lalu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Menurut surat terbuka yang disiarkan dalam akhbar harian Le Monde, 90 orang — termasuk aktor Omar Sy dan wartawan Alain Gresh — menggesa Macron mengutuk Julien Odoul, yang mengarahkan seorang wanita Islam menanggalkan tudungnya pada satu mesyuarat majlis serantau baru-baru ini.

Sambil menegaskan perbuatan menghina orang lain dan mengamalkan sikap perkauman disebabkan agama mereka adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, surat itu menggesa presiden tersebut mengambil tindakan terhadap tingkah laku kontroversi penggubal undang-undang terbabit.

Di samping itu, ia berkata puak pelampau kanan di Perancis menjadikan kebencian mereka terhadap umat Islam sebagai suatu alat propaganda dan menekankan kedua-dua pihak kanan dan kiri di negara itu tidak menghalang tindakan diskriminasi terhadap wanita Islam atas alasan sekularisme.

Menurut surat itu, kenyataan lampau Menteri Pendidikan Jean-Michel Blanquer berhubung pemakaian tudung membuktikan terdapat diskriminasi oleh tokoh negara di peringkat atasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.