
Perdana menteri berkata, ada prosedur tertentu dan peraturan yang perlu dipatuhi “atau huru-hara akan berlaku”.
“Apa akan berlaku jika konvokesyen dihadiri orang seperti ini dan protes mereka?” katanya selepas merasmikan Dana Pembangunan Masyarakat Yayasan Sejahtera hari ini.
“Mereka boleh berdemonstrasi, tetapi ada tempat lain untuk berbuat demikian.
“Jangan ganggu majlis dengan cuba menunjukkan anda ada pandangan tertentu. Anda boleh suarakan pandangan di tempat lain.”
Katanya yang menganggap ini adalah pendirian universiti itu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika UM mempunyai hak untuk membidas pelajar terbabit.
Mahathir berkata, kerajaan tidak akan terlalu campur tangan dalam isu ini dan universiti bebas membuat keputusan sendiri.
Kontroversi tercetus pada Isnin lalu apabila aktivis pelajar, Wong Yan Ke membawa plakad ke pentas ketika menerima ijazah.
Bekas presiden Persatuan Belia Baru UM yang lantang itu mengadakan bantahan terhadap Naib Canselor, Abdul Rahim Hashim yang didakwa memalukan universiti itu melalui pembabitannya dalam Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt lalu.
Rahim dilapor menyampaikan ucapan berbaur perkauman dalam himpunan itu yang dianjurkan UM dan tiga universiti awam lain.
UM kemudiannya membuat laporan polis terhadap Wong atas dakwaan dia menjejaskan imej universiti dan mengganggu protokol konvokesyen.