Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengimbas kembali pengalamannya di penjara selama lebih satu dekad berikutan hukuman salah guna kuasa dan liwat yang dijalaninya pada tahun 1999 dan 2015 yang lalu.

Menurut ahli politik berusia 72 tahun itu, beliau terpaksa melalui layanan yang dianggap tidak berperikemanusiaan dan keadaan yang menjatuhkan maruahnya semasa penahanan itu.
Paling tidak dilupakannya adalah beliau sering dihidangkan “ikan busuk” setiap masa.
“Sepanjang tiga setengah tahun itu (ketika dipenjarakan atas tuduhan liwat), daging hanya dihidangkan dua kali sahaja,” katanya seperti dipetik portal The Star Online pada ucaptama pada satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.
Bagi minuman teh pula, presiden PKR itu berkata ia cuma disajikan tanpa susu dan gula.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan beliau melalui pengalaman itu secara positif dan menyifatkan makanan di penjara itu membantu dirinya yang kini kurus dan bebas daripada penyakit kencing manis.
“Dan saya baca banyak buku, saya luangkan masa dengan membaca, pada masa sama makan sedikit dan saya kekal sihat.
“Cuba duduk di penjara sementara,” katanya secara berseloroh sambil tersenyum.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]