
Mustapa yang kini menjadi satu-satunya wakil rakyat pembangkang di DUN Kelantan bagaimanapun berkata, perkara berkenaan bukan perkara luar biasa.
Sebaliknya kata beliau, keadaan seperti itu pernah berlaku di Kelantan apabila hanya ada dua wakil rakyat pembangkang di DUN.
“Ini merupakan perkara biasa, kerana muafakat nasional sudah ditubuhkan. Ia bukan perkara yang meletup kerana bayang-bayangnya sudah lama ada. Saya juga tahu pada masa ini Kelantan bukannya kubu kuat Pakatan Harapan (PH), itu realitinya.
“Tidak ada (masalah untuk berseorang di DUN), kita lakukan politik matang. Apa yang penting adalah wakil rakyat bekerja untuk rakyat dan negara. Pada saya semua wakil rakyat harus seperti itu dan itulah tujuan kita dipilih,” katanya sewaktu ditemui pemberita, malam tadi.
Semalam, Md Alwi mengumumkan keputusan meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang. Ia berkuat kuasa semalam. Perkara itu diumumkan sendiri oleh Md Alwi ketika membahaskan Belanjawan 2020 Kelantan.
Md Alwi berkata, seramai tujuh wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) di Kelantan memutuskan untuk menyokong pentadbiran kerajaan Kelantan, selepas Umno dan PAS setuju untuk bekerjasama membentuk muafakat nasional.
Mustapa yang juga Adun Ayer Lanas berkata, beliau akan terus melaksanakan proses semak dan imbang di DUN Kelantan. Baginya, jika ada perkara betul yang dibuat kerajaan negeri, maka ia harus disokong, begitu juga jika sebaliknya berlaku.
“Kita hendak menuju 2020. Jadi kita kena lihat prinsip kematangan dalam berpolitik. Perkara yang tidak betul kita tegur dan yang baik kita sokong. Bagi saya semuanya kawan, saya sendiri sudah lama dalam politik. PAS dan Umno semuanya kawan.
“Namun apa yang penting adalah sewaktu sesi perbahasan di DUN Kelantan kelak, kita berbahas mengenai dasar-dasar demi kemajuan rakyat dan negeri Kelantan. Bagi saya, PH kena kerja lebih kuat, kena kerja kuat untuk memenangi hati rakyat dan tidak ada pintas untuk perkara itu,” katanya.