Bajet 2020 yang dibentangkan Jumaat (11 Oktober 2019) pastinya memberikan perkhabaran baik buat ibu bapa di luar sana.

Apa yang baiknya, ya? Haa…apa lagi kalau bukan peruntukan RM 60 juta daripada kerajaan bagi suntikan Pneumococcal dan ia akan diberikan secara percuma buat semua bayi yang lahir pada tahun 2020.
Apa itu suntikan Pneumococcal?
Suntikan Pneumococcal atau turut dikenali sebagai Pneumococcal Conjugate Vaccine (PCV) diberikan bertujuan untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus Pneumonia.
Bakteria ini juga dikenali sebagai Pneumokokus.
Mesti ada di antara anda yang bertanya bahayakah bakteria tersebut?
Sebelum penulis menjawab bahaya atau tidak, jom kita ketahui dulu apa kesan kepada kesihatan jika dijangkiti bakteria ini, okay?
Umumnya, bakteria ini boleh menjangkiti sesiapa tanpa mengira usia, tetapi lebih kerap menjangkiti kanak-kanak dan individu lebih berusia. Pelbagai masalah kesihatan berisiko untuk berlaku jika dijangkiti, antara:
- Jangkitan atau radang paru-paru
- Meningitis (radang membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak
- Sepsis (jangkitan dalam darah)
- Sinutisis (jangkitan pada sinus)
- Otitis media (jangkitan telinga telinga)
Kebanyakan jangkitan ini adalah serius dan boleh mengakibatkan hilang upaya secara kekal seperti pekak, kerosakan otak atau kehilangan tangan mahupun kaki, atau boleh menyebabkan kematian.
Jadi sudah tentu jawapannya, bakteria ini adalah berbahaya. Dan oleh kerana itu, amat penting untuk mendapatkan suntikan PCV ini.
Dos suntikan diperlukan bayi
Buat masa ini, kos suntikan PCV di klinik swasta adalah sekitar RM 325 bagi setiap dos, mahal bukan?
Dari aspek kemampuan, sudah tentu dengan harga sebegitu, ia boleh dianggap sebagai satu bebanan kerana bukan satu dos sahaja yang diperlukan.
Oleh kerana Bajet 2020 memberikan suntikan Pneumococcal percuma kepada bayi, apa kata kita ketahui mengenai jumlah dos suntikan yang diperlukan. Untuk makluman setiap dos adalah bersamaan 0.5 ml.
Sebanyak tiga dos lengkap disyorkan kepada si manja pada usia 1 tahun.
Dos yang pertama akan diberikan selepas berumur enam minggu.
Jika ingin mendapatkan suntikan ini buat si manja anda, sebaiknya berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan jadual imunisasi suntikan pneumokokal mengikut usia si manja.
Suntikan penting
Bagi semua ibu bapa sudah pasti ini berita yang menggembirakan.
Suntikan Pneumococcal adalah satu suntikan yang penting.
Ia adalah untuk menjamin tahap kesihatan yang lebih baik buat si comel anda.
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]