Selepas demo konvo, graduan UM dakwa dihalang terima ijazah

Selepas demo konvo, graduan UM dakwa dihalang terima ijazah

Edan Koh percaya universiti bimbang peristiwa tunjuk perasaan semalam akan berulang.

Edan Koh (baju putih) di luar Dewan Tunku Canselor. Di kanannya Presiden Umany Wong Yan Ke, yang menunjuk perasaan semalam.
KUALA LUMPUR:
Seorang pelajar Universiti Malaya mendakwa dia dihalang daripada menerima sijilnya di majlis konvokesyen hari ini, sehari selepas tunjuk perasaan seorang pelajar mengkritik naib canselor menjengkelkan para pegawai universiti.

Edan Kon, 23, dari Negeri Sembilan, sepatutnya menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

Dia tampil berpakaian jubah konvokesyen, tetapi disekat di pintu Dewan Tunku Canselor.

“Saya dikuarantin dan walaupun ke tandas saya diekori anggota keselamatan,” katanya kepada FMT.

Kon percaya pentadbiran universiti bimbang dia akan melakukan tunjuk perasan sama seperti rakan universitinya, Wong Yan Ke.

Wong, bekas ketua Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), mencetuskan kontroversi semalam apabila dia membawa plakad di pentas semasa menerima sijilnya.

Wong menunjuk perasaan terhadap Naib Canselor Abdul Rahim Hashim, mengatakan beliau sudah memalukan universiti itu apabila ia menganjurkan Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt.

Rahim dikatakan membuat kenyataan berbaur perkauman di kongres anjuran UM dan tiga universiti awam lain itu.

Kongres itu menjadi perhatian selepas Ketua Penganjur Zainal Kling berkata Malaysia adalah negara orang Melayu sebagaimana China untuk orang Cina dan India negara orang India.

Kon, yang juga bekas presiden Umany berkata, dia tidak merancang untuk melakukan tunjuk perasaan.

“Mereka gagal menjustifikasikan kenapa saya dihalang. Saya beritahu mereka saya hanya mahu terima sijil dan saya tidak akan melakukan apa-apa bantahan.

“Saya seorang watak kontroversi yang lantang, jadi saya biasa dengan penindasan,” tambahnya.

FMT sudah menghubungi UM untuk mendapatkan respon.

Sementara itu, Kon mengkritik Menteri Pendidikan Maszlee Malik kerana menyokong Kongres Maruah Melayu.

Beliau berkata Maszlee, yang juga hadir bersama beberapa pemimpin politik Melayu di acara itu, membenarkan universiti yang dibiaya dana awam digunakan untuk tujuan politik.

Sementara itu, pada sidang media di luar dewan konvokesyen hari ini, Wong berkata tunjuk perasaan adalah perkara biasa di universiti-universiti lain di serata dunia, di mana para pelajar di majlis konvokesyen akan mengambil kesempatan untuk menunjuk perasaan tentang pelbagai isu termasuk perubahan iklim.

Sekumpulan pelajar menunjuk perasaan mengecam tindakan Wong Yan Ke yang menunjuk perasaan terhadap Naib Canselor Abdul Rahim Hashim.

“Ini bukan budaya di sini dan sekarang ada orang mulakan petisyen mahu sijil saya dibatalkan,” katanya, merujuk kepada petisyen dalam talian yang mengecam tindakannya.

Sekumpulan pelajar juga berhimpun hari ini untuk mengecam tindakan Wong, membawa plakad menyokong naib canselor.

UM membuat laporan polis terhadap Wong, menuduhnya mencemar imej universiti serta mengganggu protokol konvokesyen.

Majlis konvokesyen UM dirasmikan oleh Sultan Nazrin Shah pada Sabtu dan berakhir hari ini.

Pemuda DAP bidas

Sementara itu, Pemuda DAP juga membidas tindakan menghalang Kon daripada menerima sijilnya di majlis konvokesyen hari ini, mendakwa naib canselor UM menyalahgunakan kuasanya.

Ia juga mengungkit beberapa kejadian sebelum ini seperti laporan polis terhadap Wong, kenyataan berbaur perkauman di Kongres Maruah Melayu, dan membisukan diri apabila mahasiswa diganggu penyokong bekas perdana menteri Najib Razak di luar kampus pada Mac.

“Terbukti naib canselor UM gagal dalam menjalankan amanahnya dan patut letak jawatan serta-merta,” kata majlis eksekutifnya dalam kenyataan hari ini.

Pemuda DAP tertanya adakah Rahim alpa terhadap pesanan Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang menyeru keterbukaan dalam isu mahasiswa.

“Pemuda DAP sekali lagi mengecam sekeras-kerasnya pihak UM yang mencabuli hak mahasiswa menerima sijil dan juga tindakan pihak universiti yang membuat laporan polis terhadap graduan yang hanya bersuara dan berekspresi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.