Saya lebih kuat merajuk daripada Hasmah, seloroh Mahathir

Saya lebih kuat merajuk daripada Hasmah, seloroh Mahathir

Dr Mahathir mempunyai karakter yang mungkin tidak ramai tahu iaitu lebih kuat merajuk daripada isterinya.

Dalam ketegasan seorang Perdana Menteri memimpin dan mentadbir negara, ramai yang ingin tahu tentang karakter sebenar Dr Mahathir Mohamad di luar bidang kerjanya.

Siapa yang tahu beliau sebenarnya lebih manja dan mudah merajuk berbanding isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Mahathir yang berkongsi kisah kehidupannya berkata beliau sering “kecewa” apabila mengambil masa yang lama menunggu isterinya bersiap.

“Saya ni selalunya ‘on time’, saya tidak suka terlambat, jadi bila saya sudah siap, dia tidak siap, saya kecewalah. Tapi tidak boleh betulkan, sekarang ini saya terima hakikat, bahawa dia mesti lambat dari saya dan saya mesti bersedia tunggu dia,” katanya ketika ditemu bual dalam sebuah stesen radio, Hot FM pagi tadi.

Sememangnya Mahathir seorang yang manja, apabila beliau mengakui lebih suka bermain dengan cucunya kerana lebih manja daripada anak sendiri.

“Cucu saya, manja-manjalah, tapi cucu ni lain dari anak, anak tak berapa manja, cucu lainlah, dia tunjuk perasaan sayang lebih dari anak, dan saya mempunyai 18 cucu, dan saya kadang-kadang terlupa nama mereka, tapi semuanya sangat rapat, jumpa peluk-peluk,” tambahnya.

Namun dalam sikap manja dan romantiknya itu, tetap ada ketegasan dan tidak bergantung kepada orang lain walaupun pada usia mudanya.

Mahathir yang lahir daripada keluarga susah sentiasa memikirkan jalan keluar untuk membantu diri dan keluarganya dalam menambah sumber pendapatan.

“Pekerjaan pertama saya adalah jual goreng pisang. Jual macam-macam di pekan Rabu, itu kerja saya yang pertama, pada masa itu zaman Jepun, kita miskin buat cara miskin dan kerja tidak ada, saya bukan doktor pada masa itu, dan kerja jual goreng pisang.

“Zaman Jepun, keluarga saya juga tidak ada pendapatan kerana banyak yang kerja kerajaan terpaksa berhenti, abang saya berhenti, tetapi saya tidak ada bekalan apa pun, ibu bapa pun tidak dapat pencen, jadi saya kena kerja, kerja pada masa itu tidak banyak, saya kerja sebagai penjual goreng pisang,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, beliau juga pernah dibuli oleh seorang pelajar bernama Hussin yang menyuruhnya membeli nasi setelah memperoleh pendapatan menjual tiga belon berharga tiga sen setiap satu.

“Dulu saya kena buli. Saya jual belon, saya jual satu belon satu sen. Tiga belon dapat tiga sen. Jadi kawan saya ini bawa saya pergi ke kantin, saya kena beli nasi kepada dia. Dan saya takut pada dia, dia kuat. Jadi dulu, kita kena buli. Namanya Hussin, dia anak seorang jiran saya juga,” celotehnya lagi.

Namun setiap pekerjaan yang dilakukan, kata Mahathir ia perlu ikhlas dan bukan kerana keuntungan semata-mata.

“Saya utamakan semangat, saya tidak berapa utamakan upah dan sebagainya, bagi saya upah tidak besar tidak apa, tapi kalau ada semangat nak kerja, kita kerja lebih baik, kalau bergantung kepada upah, prestasi kerja tidak baik, sebabnya kita cuma kerja untuk dapat duit, tapi bila kerja untuk semangat, itu menunjukkan diri kita sendiri berminat untuk kerja,” katanya sebagai pembakar semangat kepada orang muda di zaman ini.

Berkongsi mengenai salah satu lagi hobinya selain menunggang kuda ialah beliau suka memandu kereta.

Dan beliau turut berkongsi pengalaman memandu dari Singapura ke Alor Setar yang disifatkannya sebagai satu hiburan.

“Kalau saya pandu kereta, paling laju saya bawa adalah 180km sejam, lebih dari itu pun ada tetapi kadang-kadang, tetapi bila bawa isteri saya, saya akan bawa perlahan.

“Saya membeli kereta semasa di Singapura, waktu itu saya adalah pelajar, kereta itu bumbung kain dan jenis standard, saya bawa bawa kereta itu dari Singapura ke KL, KL ke Singapura, balik ke Alor Setar.

“Saya seronok bawa kereta walaupun kadang-kadang bila malam sakit kaki kerana tekan pedal itu,” ujarnya lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.