
Pasukan polis menyerbu sekolah di Daura di negeri Katsina selepas beberapa pelajar melarikan diri dari asrama mereka pada Ahad dan berkumpul di jalanan sebagai protes.
Ketua Polis Katsina, Sanusi Buba memberitahu wartawan pemuda terbabit dirantai dan diseksa.
“Kami difahamkan penghuni di sini lebih 300 dan kerana layanan tidak berperikemanusiaan.
“Beberapa penghuni melarikan diri sementara … kira-kira 60 daripada mereka masih tinggal di situ,” katanya dengan kebanyakan mereka ditemui dirantai.
Buba berkata sekolah itu ditubuhkan oleh ulama berusia 78 tahun, Bello Mai Almajirai, 40 tahun lalu. Beliau kemudian memindahkan pengurusan sekolah kepada anaknya.
Beliau berkata pelajar sekolah yang didaftarkan di situ dibawa keluarga mereka untuk mempelajari Al-Quran dan dirawat disebabkan pengambilan dadah dan penyakit lain.
Daura yang terletak 70km dari ibu negeri dan berdekatan sempadan Niger, adalah tempat kelahiran Presiden Muhammadu Buhari.
Pelajar tersebut berasal dari “pelbagai bahagian Nigeria”, termasuk negeri Katsina dan Republik Niger, kata ketua polis.
Menurut Buba, penghuni yang didera itu “tertakluk kepada keadaan tidak berperikemanusiaan,” dengan beberapa pelajar mendedahkan mereka diliwat oleh guru mereka.
Polis akan berhubung dengan kerajaan negeri untuk mengenalpasti identiti pemuda itu dan menghubungi keluarga mereka untuk dibawa pulang, katanya.
Buba berjanji untuk menangkap pemilik dan guru terbabit yang berjaya melarikan diri semasa serbuan tetapi meraka akan berdepan tindakan undang-undang.
Bulan lalu, polis berdekatan negeri Kaduna, membebaskan lebih 300 pelajar lelaki dari sekolah berasrama serupa di mana mereka dirantai, disiksa dan didera secara seksual.
Kadar penggunaan dadah yang tinggi dan kekurangan kemudahan pemulihan di Nigeria utara memaksa ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah pemulihan akhlak Islam yang tidak formal di mana mereka menjadi mangsa penderaan.