Nafuzi Zain dilantik jurulatih Terengganu FC

Nafuzi Zain dilantik jurulatih Terengganu FC

Menteri besar berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan ketika beliau mengambil alih tugas membimbing skuad Penyu.

Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) secara rasmi melantik pemangku jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain, sebagai ketua jurulatih pasukan itu, bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Presiden PBSNT, dalam satu sidang media di Kongres Biasa Tahunan PBSNT, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata pelantikan jurulatih kelahiran Kelantan itu dibuat, berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan ketika beliau mengambil alih tugas membimbing skuad Penyu daripada bekas ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan secara drastik, Mei lalu berikutan prestasi buruk pasukan.

“Pemilihan Nafuzi dibuat selepas mengambil kira rekod prestasi beliau dalam mengurus pasukan, selepas diamanahkan tugas sebagai pemangku ketua jurulatih. Kita nampak keberanian dan keberkesanan beliau, membawa anak-anak (pemain) Terengganu dalam pasukan utama.

“Nafuzi akan diberi mandat penuh untuk membimbing dan membentuk barisan pemain pasukan TFC, dibantu Sabri Sulong yang merupakan jurulatih pasukan TFC lV musim ini,” katanya pada sidang media kongres tersebut.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, PNSNT juga telah melakukan rombakan terhadap barisan pemain TFC, dengan menampilkan sehingga 60% muka baru, dengan sasaran 80% adalah anak jati Terengganu, musim depan.

Menurut beliau langkah itu dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan PBSNT sehingga 30%, selain mengangkat bakat dalam kalangan anak-anak tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.