
Akhbar Berita Harian melaporkan tawaran itu disifatkan sebagai yang terakhir oleh kerajaan, susulan perbincangan antara Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad minggu lalu.
“Kita akan usahakan perbincangan, memujuk pemilik tanah untuk terima tawaran selain memahami apa sebenarnya diinginkan mereka kerana akhirnya isu pembangunan Kampung Baru perlu diselesaikan segera,” katanya pada sidang media selepas majlis serah kunci sebuah projek perumahan hari ini.
Katanya, satu mesyuarat dengan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan diadakan minggu ini sebelum tawaran dibuat kepada pemilik dan waris.
Khalid pada satu majlis penerangan pembangunan semula Kampung Baru mengumumkan tawaran harga RM850 setiap kaki persegi.
Sebelum ini, seorang pakar pihak berkuasa tempatan dan undang-undang perancnagan bandar menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menghasilkan satu pelan tindakan kawasan khas bagi memastikan pemilik tanah mendapat harga yang adil.
Derek Fernandez berkata tawaran RM850 satu kaki persegi itu tidak adil kerana mereka tidak tahu perincian jenis pembangunan, nisbah plot dan kepadatan penduduk yang dibenarkan bagi kawasan itu.
Beliau berkata mustahil pemilik tanah dapat memastikan nilai sebenar tanah tanpa mengetahui pembangunan apa yang dibenarkan pihak berkuasa di situ.