Kumpulan majikan gesa Dewan Negara tolak cadangan Kula

Kumpulan majikan gesa Dewan Negara tolak cadangan Kula

Menteri M Kula Segaran didakwa gagal berunding dengan kumpulan majikan dan pekerja tentang pindaan undang-undang buruh.

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyeru Dewan Negara menolak pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (IRA) yang dicadangkan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran kerana beliau gagal berunding secara rasmi dengan pemegang taruh mengenai perkara itu.

Katanya, cadangan pindaan diserah kepada Dewan Rakyat minggu lepas oleh Kula yang mengelak prosedur membentangkan perbincangan dengan MEF dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) selepas perbincangan di jawatankuasa teknikal majlis itu.

“Kami terkejut menteri membentangkan cadangan pindaan itu atas kemahuan sendiri yang terang-terangan melanggar prinsip tripartisme dalam Konvensyen 144 Pertubuhan Buruh Antarabangsa,” kata Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan.

Prinsip tripartisme yang disebut Shamsudin itu merujuk kepada rundingan tiga pihak antara kumpulan majikan, kumpulan pekerja dan kerajaan.

Perkembangan ini menyusuli gesaan MTUC semalam yang menyeru DEwan Negara menolak semua lapan pindaan pada IRA yang diluluskan Dewan Rakyat pada Isnin.

MEF berkata pindaan yang dicadangkan itu ada implikasi serius pada kehamornian perusahaan dan kesan buruk terhadap kestabilan ekonomi.

“Menteri bukan sahaja mengabaikan rakan kongsi sebelum membentangkan cadangan pindaan itu, Analisis Kesan Peraturan (RIA) juga tidak dijalankan,” katanya.

MEF mahu cadangan pindaan itu dikembalikan kepada NLAC untuk dibincangkan cukup-cukup.

Kula baru-baru ini berkata cadangan pindaan IRA itu akan dibahaskan dan dijangka diluluskan pada sesi kali ini, dan menambah pandangan pemegang taruh termasuk NLAC, MEF dan MTUC sudah diambil kira.

MTUC bagaimanapun berkata ia tidak dirunding mengenai reformasi itu, dan menuduh Kula berbohong mengenai rundingan dengan pemegang taruh sebelum membentangkan pindaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.