Turun nilai ambang pembeli asing, Zuraida mahu bincang dengan MOF

Turun nilai ambang pembeli asing, Zuraida mahu bincang dengan MOF

Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu berkata, pengurangan nilai ambang itu akan berkuat kuasa mulai 1 Jan hingga 31 Dis 2020.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya mahu cadangan menurunkan nilai ambang harga rumah untuk pembeli asing dikaji semula kerana terdapat rakyat yang tidak bersetuju.
PONTIAN:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung cadangan menurunkan had harga kondominium dan pangsapuri di bandar yang boleh dibeli warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, ia bagi mengkaji semula cadangan tersebut memandangkan terdapat suara rakyat yang tidak bersetuju dengan had penurunan berkenaan.

“Saya akan rujuk balik dengan Kementerian Kewangan sekiranya perlu dikaji semula. Mungkin melihat respons rakyat harus diberi pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Menurut Zuraida, ramai yang tidak jelas mengenai cadangan berkenaan dengan beranggapan ia dikeluarkan KPKT sedangkan ia di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, KPKT kini lebih menumpukan usaha mempromosikan Malaysia My Second Home (MM2H) dengan menyediakan pakej menarik bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan rancangan itu bagi membantu mengurangkan lambakan unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku tahun 2019.

Beliau menjelaskan pengurangan itu akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2020 hingga 31 Dis 2020 dan tidak merangkumi projek baharu yang belum dilancarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.