Turun nilai ambang pembeli asing hanya untuk unit tidak terjual, kata Guan Eng

Turun nilai ambang pembeli asing hanya untuk unit tidak terjual, kata Guan Eng

Menteri kewangan berkata, langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 itu akan berkuat kuasa dari 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020.

Menurut kerajaan penurunan nilai ambang untuk pembeli asing adalah bagi mengurangkan lambakan hartanah yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua 2019
KUALA LUMPUR:
Langkah pengurangan nilai had bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar kepada RM600,000 daripada RM1 juta untuk pemilikan asing, hanya terpakai kepada unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang masih tidak terjual, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 itu akan berkuat kuasa dari 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020 sahaja dan tidak merangkumi projek baru yang belum dilancarkan.

“Unit sedia ada yang tidak terjual merupakan kediaman yang tidak dapat menarik pembeli tempatan. Sehubungan itu, kelonggaran mengurangkan nilai had untuk pemilikan asing kondominium dan pangsapuri tidak akan menidakkan hak pembeli tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, langkah ini dijangka memanfaatkan sektor hartanah tanpa menjejaskan kepentingan warga Malaysia.

“Pembeli tempatan tidak dinafikan hak mereka kerana sekiranya mereka hendak beli, mereka boleh beli sekarang dan ia tidak akan kekal sebagai unit tidak terjual,” katanya.

Katanya, langkah berkenaan dicadangkan bagi membantu mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua 2019.

“Sekiranya unit tersebut dapat dijual, ia secara langsung akan memberi impak limpahan ekonomi kepada negara,” katanya.

Katanya, Kementerian Kewangan akan terus memantau pelaksanaan kelonggaran tersebut berhubung pengurangan nilai had bagi memastikan objektif dasarnya tercapai.

Di LANGKAWI, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata penurunan had harga rumah untuk pembeli asing kepada RM600,000 bertujuan mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual.

Beliau turut menegaskan warga asing yang membeli rumah berkenaan tidak akan diberikan kewarganegaraan.

“Kalau orang tempatan nak beli pun boleh jual dengan harga itu juga, tetapi kita ada ‘over hang’, kita telah bangunkan rumah dengan banyak sekarang ini tidal dijual.

“Apabila sesuatu projek perumahan tak dijual ia menyebabkan kerugian kepada negara, jadi kita nak ‘rid of this over hang’.

“Bila dah ‘over hang dah get rid’ kita nak naik balik ke RM800,000; RM1 juta atau RM2 juta itu, ini cara kita nak lariskan penjualan. Kalau orang asing beli, mereka boleh beli, tetapi kita tidak beri kerakyatan kepada mereka, mereka guna sebagai ‘holiday home’,” katanya.

Mahathir, yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat pembangunan di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.