Utusan gulung tikar untuk selamat lesen, abai pekerja, kata Johan Jaafar

Utusan gulung tikar untuk selamat lesen, abai pekerja, kata Johan Jaafar

Pada 7 Okt lembaga pengarah Utusan meluluskan usul Penggulungan Sukarela Pemiutang, sekali gus membuat keputusan menutup operasi syarikat itu.

Bekas ketua pengarah Utusan Melayu Johan Jaafar berkata, penutupan Utusan adalah atas pertimbangan perniagaan semata-mata.
KUALA LUMPUR:
Tindakan pihak pengurusan Utusan Melayu memilih untuk membuat Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) akhbar itu hanya untuk menyelamatkan jenama dan lesen surat khabar.

Bekas ketua pengarang Utasan Melayu Johan Jaafar turut mendakwa ia pertimbangan perniagaan semata-mata walaupun mengakibatkan lebih 800 petugas akbar itu hilang pekerjaan dalam sekelip mata.

“Jadi apa yang berlaku adalah syarikat gulung tikar. Syarikat telah melalui ‘voluntary liquidation’ (penggulungan sukarelawa pemiutang).
“Maka sesiapa saja yang bekerja dengan Utusan Melayu dianggap sudah melepaskan jawatan. Semua aset di bawah syarikat itu akan dijual untuk membayar hutang.

“Dalam proses ini nampaknya yang diselamatkan adalah jenama dan lesen surat khabar, tetapi kebajikan itu tidak diberi perhatian. Ini pertimbang perniagaan semata-mata.

“Bagi pandangan saya mereka seharusnya memikirkan pilihan lain,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Bengkel Media dan Politik dalam Malaysia Baharu, di Parlimen, hari ini.

Selain itu, Johan yang pernah mengemudi akbar itu pada 1990-an berkata, beliau secara peribadi amat sedih dengan nasib yang menimpa akhbar tertua negara.

“Jadi tiada cara untuk mereka mengambil kesemua pekerjanya semula. Ini sesuatu yang sangat menyedihkan kerana syarikat akhbar berusia 80 tahun sudah terkubur dan kebajikan pekerja tidak difikirkan,” katanya.

Rabu lepas, dalam satu memo dalaman yang diedarkan kepada kakitangan syarikat oleh pengerusi eksekutif Utusan Melayu Abd Aziz Sheikh Fadzir dilaporkan berkata, lembaga pengarah Utusan pada 7 Okt 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang, sekali gus membuat keputusan menutup operasi syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.