Statistik tidak dedah jurang kekayaan Bumiputera, kata penganalisis

Statistik tidak dedah jurang kekayaan Bumiputera, kata penganalisis

Statistik pemilikan ekuiti tidak menceritakan ketidakseimbangan yang wujud dalam komuniti Bumiputera.

Baru-baru ini Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa ekuiti Bumiputera dalam kekayaan negara hanyalah 16 peratus, jauh di bawah sasaran Dasar Ekonomi Baru sebanyak 30%.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa membezakan statistik kekayaan dalam kalangan Bumiputera mengikut wilayah bagi memperlihatkan gambaran keadaan ekonomi sebenar pelbagai komuniti yang termasuk dalam definisi “Bumiputera”.

Bercakap kepada FMT, ahli akademik Madeline Berma dan aktivis politik Zainal Ajamain berkata, mereka percaya kekayaan Bumiputera kebanyakannya dimiliki oleh orang Melayu di Semenanjung Malaysia.

“Jika anda bezakan statistik kekayaan Bumiputera kepada Bumiputera di semenanjung, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak, anda akan dapati kekayaan itu bertumpu di Semenanjung Malaysia,” kata Madeline.

Baru-baru ini Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa ekuiti Bumiputera dalam kekayaan negara hanyalah sebanyak 16 peratus, jauh di bawah sasaran Dasar Ekonomi Baru sebanyak 30%.

Madeline berkata, statistik itu tidak menceritakan ketidakseimbangan yang wujud dalam komuniti Bumiputera.

“Kita tidak boleh setakat membandingkan antara gologan Bumiputera, Cina dan India kerana jurang itu wujud hatta dalam kalangan Bumiputera sendiri.

Beliau berkata, pembezaan statistik boleh membantu kerajaan memperelokkan rancangan belanjawan pembangunan dan sasaran bantuan kewangannya.

“Tanpa data spesifik, bagaimanakah kita mahu jelaskan keadaan golongan minoriti Bumiputera? Kita tidak boleh gunakan kejayaan orang Melayu bagi menutup kekurangan yang dihadapi Bumiputera di Sabah dan Sarawak.”

Katanya, umum mengetahui bahawa Bumiputera di Malaysia Timur ketinggalan berbanding saudara mereka di Semenanjung Malaysia walapun pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan selama ini untuk merapatkan jurang tersebut.

Zainal berkata, sebahagian besar ekuiti Bumiputera dimiliki oleh syarikat yang berpangkalan di semenanjung dan pemegang sahamnya berkemungkinan besar merupakan orang Melayu semenanjung.

Beliau juga berkata, jurang pengagihan kekayaan oleh dilihat dengan jelas berdasarkan perbezaan tahap pembangunan infrastruktur antara Malaysia Timur dan Barat.

“Apabila anda membantu orang, anda perlu bantu mereka yang lebih memerlukan,” katanya.

“Jadi apabila kerajaan menyediakan peruntukan untuk Bumiputera, maka ia harus diberikan kepada golongan Bumiputera yang lebih memerlukan.

“Tetapi bagaimana anda boleh mengenal pasti Bumiputera manakah yang lebih memerlukan sekiranya statistik yang digunakan tidak menggambarkan keadaan sebenar?”

Katanya, “jurang besar” antara Bumiputera di semenanjung dengan mereka di Malaysia Timur oleh dilihat sekiranya statistik itu dibezakan.

“Bila anda kelompokkan semua sekali, jurang itu tidak kelihatan terlalu buruk,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.