
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata penuaan penduduk di Malaysia disebabkan trend penurunan kadar kesuburan yang berterusan, dijangka membawa kepada cabaran penjagaan kesihatan dan pekerjaan.
“Salah satu cara untuk menangani perkara ini adalah menggalakkan pasangan mendapatkan lebih ramai anak melalui bantuan perubatan. Bagaimanapun kos rawatan sedemikian sangat tinggi, dengan rawatan In-vitro Fertilization (IVF) antara RM4,000 hingga RM30,000.
“Mengambil maklum cadangan ini, KWSP akan mewujudkan pilihan baru di bawah Akaun 2 bagi pengeluaran untuk rawatan kesuburan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tunku Alizakri berkata KWSP mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan dalam pelaksanaan cadangan tersebut.
“Kami menyedari kanak-kanak mempunyai faedah langsung dan tidak langsung untuk keluarga. Oleh itu, KWSP menyokong sepenuhnya dan secara aktif akan mencari jalan untuk mengimbangi keperluan antara keselamatan kewangan dan kesejahteraan sosial.”
Tunku Alizakri berkata KWSP ambil maklum belanjawan itu mengambil kira demografi yang cepat berubah, perubahan definisi kerja dan persekitaran kerja dan isu berkaitan kesejahteraan sosial.
Dalam pembentangan Belanjawan 2020, KWSP dilaporkan akan memperkenalkan kategori pengeluaran baru kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti IVF.
“Hari ini kadar kesuburan di Malaysia menurun dengan ketara daripada 4.9 bayi pada tahun 70-an kepada 1.9 bayi bagi setiap wanita, iaitu di bawah paras penggantian,” kata Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam.