Peruntukan Orang Asli sia-sia jika tak pelihara hutan, kata NGO

Peruntukan Orang Asli sia-sia jika tak pelihara hutan, kata NGO

Peruntukan tidak bermakna jika pembalakan berterusan kerana kegiatan itu mengurangkan mata pencarian mereka.

NGO berkata hutan amat penting pada kehidupan Orang Asli. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua NGO acuh tak acuh dengan pengurangan sebanyak RM20 juta dalam peruntukan untuk Orang Asli, mengatakan geran seperti itu tidak menjamin pembangunan masyarakat itu.

Presiden Petubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata peruntukan itu tidak bermakna jika pembalakan berterusan kerana kegiatan itu mengurangkan mata pencarian mereka.

Beliau berkata menambahbaik standard pendidikan dan kesihatan untuk masyarakat itu adalah bagus.

“Saya nampak kerajaan memperuntukkan wang itu hanya untuk menggembirakan Orang Asli, tetapi dalam jangka masa panjang tiada manfaat bermakna untuk Orang Asli kerana mereka kehilangan hutan.

“Ada Orang Asli yang bergantung pada hutan untuk mata pencarian. Itulah budaya mereka, agama mereka dan warisan mereka.

“Berikan mata pencarian mereka, berikan hutan mereka dan hentikan pembalakan,” kata Sabrina.

Sabrina memberitahu FMT bahawa Putrajaya nampaknya tidak berminat untuk memelihara hutan, walaupun Orang Asli bergantung sepenuhnya pada hutan.

Beliau mengingatkan budaya dan tradisi masyarakat itu sangat berbeza dengan kebanyakan rakyat lain.

“Budaya mereka tak sama. Kalau kamu mahu memodenkan mereka dan jadikan mereka Melayu dan buat mereka ubah agama, bermakna tidak akan ada lagi Orang Asli.

“Kalau itu yang kamu mahu, jangan cakap pasal Orang Asli. Anggap sahaja mereka itu orang Malaysia atau Melayu, sesuatu yang Orang Asli tidak mahu. Mereka masih mahu berpegang pada budaya mereka.”

Belanjawan 2020 menyaksikan pengurangan dalam peruntukan untuk Orang Asli, di mana RM83 juta diperuntukkan untuk membangunkan ekonomi, pendidikan dan prasarana, berbanding RM100 juta dalam belanjawan lepas.

Oleh kerana terdapat pengurangan yang ketara, Penyelaras Centre for Orang Asli Concerns (COAC) Colin Nicholas berkata apa yang lebih penting sekarang adalah memastikan peruntukan itu benar-benar sampai ke masyarakat itu.

“Apa sahaja yang diperuntukkan sekarang mesti dihalakan ke arah menambah nilai bagi Orang Asli; bahawa akan ada pembangunan dan penambahbaikan sebenar bagi masyarakat itu.

“Ini bukan soal jumlah. Ia soal memastikan sasaran tercapai dan dana dimanfaatkan dengan betul,” kata Colin.

Beliau menambah status penjagaan kesihatan dan pendidikan Orang Asli tidak bertambah baik walaupun dengan peruntukan lebih besar sebelum ini.

Colin menggesa Putrajaya mendedahkan audit ke atas projek dan program untuk Orang Asli bagi memastikan dana digunakan dengan cekap dan berkesan.

“Saya mahu lihat audit ke atas semua projek Orang Asli, sama ada projek pembangunan atau prasarana atau kesihatan.

“Bukan sahaja audit ke atas ke mana duit itu pergi tetapi bagi menunjukkan projek-projek itu berguna untuk membangunkan Orang Asli atau tidak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.