Malaysia di tangga pertama Global Muslim Travel Index

Malaysia di tangga pertama Global Muslim Travel Index

Antara faktor yang menarik pelancong adalah peningkatan penduduk berpendapatan sederhana di Asia, inflasi yang rendah dan destinasi jarak dekat.

KUALA LUMPUR:
Malaysia menduduki tempat pertama dalam Global Travel Index pada tahun lepas, menurut kajian di peringkat global oleh CrescentRating.

Sementara itu, Euromonitor International memilih Kuala Lumpur sebagai Top 100 Cities Destinations.

United Nations World Tourism Organisation (UNWTO) pula meletakkan Malaysia pada tempat ke-15 bagi ketibaan pelancong dan kedudukan ke-21 bagi hasil terimaan pelancong.

Antara faktor yang menarik pelancong adalah peningkatan penduduk berpendapatan sederhana terutama di Asia, inflasi yang rendah dan destinasi jarak dekat.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, jumlah ketibaan dan hasil terimaan pelancong dijangka terus berkembang berikutan pelancaran Visit Malaysia 2020 (VM2020).

Tahun ini, ketibaan pelancong dianggarkan mencapai 28.1 juta dengan hasil terimaan berjumlah RM92.2 bilion.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan kebergantungan yang tinggi terhadap ketibaan pelancong dari Singapura, kekurangan produk pelancongan baharu, laluan udara terhad serta isu keselamatan dan sekuriti merupakan antara isu dan cabaran yang membelenggu industri pelancongan ketika ini.

Sejajar dengan VM2020, terdapat keperluan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan, hak perjalanan udara ke negara jarak sederhana dan jauh, dan kapasiti tempat duduk penerbangan untuk menarik lebih ramai pelancong asing.

Pelancongan pelayaran juga berpotensi dimajukan terutamanya di Langkawi, Melaka dan Pulau Pinang yang boleh dijadikan pelabuhan bagi kapal pelayaran antarabangsa, selain pelancongan Islam yang akan terus diperkukuh termasuklah memperkenalkan standard Perkhidmatan Hospitaliti Mesra Muslim pertama dunia yang mengiktiraf penginapan patuh syariah.

Sementara itu, industri pelancongan kesihatan berkembang dengan pesat dan selaras dengan kempen Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan, kerajaan menyasarkan hasil pendapatan sebanyak RM2.2 bilion pada 2020.

Industri pelancongan negara berpotensi besar untuk terus berkembang berikutan kekayaan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan makanan, infrastruktur moden, dan lokasi yang strategik, ditambah dengan usaha memperkukuh tahap keselamatan dan sekuriti negara termasuk mengekang pencerobohan dan ancaman luar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.