
Menteri pendidikan itu berkata, peruntukan itu bergantung kepada kos pelaksanaan bagi 200 hari persekolahan sepanjang tahun depan.
“Ia mengambil kira kos pembekalan makanan mentah di kawasan pedalaman termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang ingin tahu jumlah peruntukan bagi program itu.
Bagi mengelakkan pembaziran, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan projek perintis dan mengambil pengalaman daripada pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebelum ini.

“Kita turut membuat program rintis dalam tempoh dua bulan ini bagi memastikan ia berjalan lancar apabila dilaksanakan sepenuhnya nanti.
“Selain itu, pihak sekolah akan ambil langkah berpatutan mengikut prosedur operasi standard supaya tidak berlaku pembaziran.”
Ketika mengumumkan pelaksanaan PSP pada 26 Ogos lalu, Maszlee dilaporkan berkata, ia adalah makanan tambahan untuk memenuhi keperluan nutrisi penting bagi pertumbuhan fizikal dan kognitif kanak-kanak untuk memastikan mereka kekal sihat dan cergas supaya dapat fokus terhadap pelajaran.
Selain murid, katanya, guru bertugas dalam PSP juga dapat menikmati sarapan percuma.
Kerajaan terdahulu melaksanakan RMT bermula 1979 sebagai makanan tambahan kepada murid sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah bagi memperbaiki kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan mereka.