
Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata skim baru itu membolehkan penghantar meraih pendapatan 50% lebih banyak, menurut data yang dikumpul selepas pelaksanaannya pada 30 Sept.
“Berdasarkan data, kami yakin perubahan yang dibuat adalah lebih baik,” katanya.
“Kami akan kekalkan skim ini ke depan sambil memantau bagi memahami sepenuhnya kesan ke atas angkatan penghantar kami sebelum mengambil langkah seterusnya.”
Di bawah skim baru, penunggang berhak memperoleh insentif RM150 setelah selesai 40 jam dalam seminggu. Mereka juga akan menerima tambahan RM1 bagi setiap pesanan antara 11 malam dan 9 pagi.
Skim baru itu hanya dilaksanakan di luar Lembah Klang setakat ini.
Sayantan berkata penghantar tidak lagi perlu bekerja untuk tempoh yang panjang kerana skim baru berhubung kait dengan jumlah penghantaran setiap jam.
“Skim pembayaran baru menggunakan model kecekapan yang mana pendapatan penghantar yang membuat lebih banyak penghantaran akan menerima lebih banyak,” tambah beliau.
Beliau juga berkata keputusan untuk mengekalkan skim baru itu dibuat tanpa pengaruh kerajaan.
Kabinet sebelum ini menggesa Foodpanda kembali kepada skim pembayaran lama susulan bantahan daripada penghantar.
Sayatan berkata tunjuk perasaan itu dimulakan dan dijalankan oleh sebilangan kecil penghantar.
“Kami sudah mengkaji dan memahami segmen penunggang yang memulakan tunjuk perasaan itu, kurang daripada satu peratus daripada angkatan kami.
“Dari segi kesan sebenar pada perniagaan, ia kecil,” tambah beliau.