
Menurut buku itu, amalan rasuah di Malaysia berada pada tahap kritikal apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) meletakkan Malaysia di tangga ke-61 daripada 180 negara pada tahun 2018 berbanding di tangga ke-39 daripada 145 negara pada tahun 2004.
Dapatan daripada kaji selidik Barometer Rasuah Global 2017 juga mendapati 60 peratus rakyat Malaysia berpandangan tahap rasuah meningkat, 57 peratus menganggap polis terlibat dalam rasuah, 48 peratus mendakwa ahli-ahli majlis, pegawai cukai terlibat dalam rasuah dan 46 peratus berpandangan eksekutif syarikat terlibat dalam rasuah.
Kajian terhadap perolehan kerajaan yang dilaksanakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa berlaku ketirisan dalam agihan nilai kontrak yang diterima oleh kontraktor Bumiputera.
Menurut buku itu, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini, ketirisan dan pengagihan projek itu telah menjejaskan pencapaian matlamat pembangunan ekonomi dan tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada rantaian bekalan kontraktor Bumiputera.

“Bagaimanapun, sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih rendah iaitu kurang daripada sembilan peratus,” demikian menurut buku itu.