
Mengumumkan perkara itu, Pengerusi PH Johor Muhyiddin Yassin berharap dengan kepimpinan Sahruddin dalam mengetuai jentera PH, kemenangan akan diperolehi.
“Hari ini kita putuskan yang Sahruddin, kita lantik sebagai pengarah jentera untuk pilihan raya ini untuk peringkat PH.
“Diharap dengan kepimpinan beliau, (maka) kita akan beroleh kemenangan,” kata Muhyiddin, yang juga presiden PPBM, kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PH Johor di pejabat PPBM Pagoh hari ini.
Sahruddin akan dibantu oleh ketua-ketua parti komponen iaitu Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi PPBM Johor Mazlan Bujang dan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.
Sementara itu, di peringkat kawasan pula, Ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai Karmaine Sardini dilantik sebagai ketua bilik Gerakan di mana beliau akan berperanan dalam menggerakkan urusan parti di kawasan berkenaan.
Mengenai pelantikan itu, Sahruddin berkata beliau akan menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan sebaik mungkin.
“Amanah telah diberi, sudah tiba waktunya untuk bekerja. Insya-Allah saya menerima tanggungjawab dan amanah yang besar dan tugas diberi sebaik mungkin dengan kerjasama semua sahabat PH.
“Kalau kita boleh bekerja bersama-sama, Insya-Allah, kita akan menang,” katanya.