
Cham Shan Jer didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM15,000.
Wanita itu didakwa memandu secara melulu pada awal pagi 29 Sept lalu sehingga mencederakan Faizul Shahrul Mohd Salleh yang merupakan pembantu Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan seorang lagi lelaki, Lee Wei Jack, di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Dia juga mungkin berdepan penjara dua tahun dan denda RM5,000 kerana didakwa memiliki 13.5mg methamphetamine.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan 18 Nov ini untuk sebutan kes.
Hujung minggu lalu, tiga peserta Standard Chartered KL Marathon cedera, selepas sebuah kereta merempuh penghadang keselamatan yang diletakkan di MRR2.
Standard Chartered KL Marathon ialah larian tahunan yang diadakan sejak 1989. Lebih 30,000 peserta mengambil bahagian tahun ini bersama kira-kira 1,900 peserta antarabangsa dari 73 negara.